Anda di sini

Peniaga mahu MPSP pasang CCTV elak kecurian daging

Advertisement

BUKIT MERTAJAM: Peniaga di Pasar Awam Sama Gagah di Permatang Pauh di sini berharap Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dapat memasang kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar pasar berkenaan bagi mengatasi masalah kecurian bekalan daging ayam dan lembu yang di simpan dalam peti simpanan di situ.

Wakil peniaga Ahmad Asyraf Sanusi, 26, berkata lapan peniaga terpaksa menanggung kerugian sehingga RM500 setiap kali bekalan barangan mereka dicuri.

“Boleh dikatakan selang sehari mesti ada peniaga yang bekalan ayam atau daging mereka dicuri dari peti simpanan di pasar dan terbaharu awal pagi kelmarin peti simpanan milik saya dipecahkan. Ia menyebabkan kira-kira lima kilogram daging yang sepatutnya dijual hilang.

“Kejadian ini kerap kali berlaku sejak kebelakangan ini malah bulan lepas pun mangga besi diumpil bagi membolehkan daging dan ayam yang diletakkan di dalam peti ini dicuri sehingga peniaga kerugian RM500,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Katanya boleh dikatakan semua peniaga di sini pernah terkena dan pencuri itu seperti telah menyasarkan peti simpanan gerai yang mana akan dipecahkan.

Ahmad Asyraf berkata kedudukan gerainya yang berada di hujung dan hanya ditutupi dinding menyebabkan peti simpanannya selalu dijadikan sasaran.

“Pembekal akan menghantar ayam pada pukul 4 pagi atau 5 pagi dan ada individu yang tidak bertanggungjawab akan mengambil kesempatan melarikan bekalan itu sebelum peniaga sampai.

“Kebanyakan peniaga termasuk saya akan tiba di gerai sesudah subuh dan ada sahaja bahan basah yang hilang dicuri,” katanya.

Seorang lagi peniaga yang ingin dikenali sebagai Ahmad, 40-an, berkata pihaknya percaya jika MPSP memasang CCTV, masalah kecurian dapat diatasi kerana pemantauan boleh dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan berkenaan.

“Kalau boleh, tugaskan seorang pengawal keselamatan untuk membantu menjaga barangan peniaga di sini bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang lagi.

“Peniaga di sini juga berharap pihak polis dapat melakukan rondaan lebih kerap di kawasan pasar ini supaya pencuri berkenaan dapat ditangkap,” katanya. — Bernama

Advertisement