Anda di sini

MH370: Ada petunjuk baharu boleh dipercayai, kata Abbott

Advertisement

MELBOURNE: Perdana Menteri Australia Tony Abbott berkata terdapat satu petunjuk baharu yang boleh dipercayai dalam pencarian pesawat Malaysia Airlines  penerbangan MH370 yang hilang hampir tiga minggu lepas.

Laporan media Australia berkata Abbott telah diberi taklimat mengenai analisis data terbaru radar yang membuatkan pihak berkuasa memindahkan kawasan carian 1,100 km ke timur laut, berikutan makluman terbaru daripada pasukan penyiasat antarabangsa di Malaysia.

Zon pencarian kini seluas kira-kira 319,000 km persegi dan 1,850 km ke barat Perth.

Analisis itu datang dari data radar antara Laut China Selatan dan Selat Melaka sebelum perhubungan dengan MH370 terputus.

“Ini adalah petunjuk baharu yang boleh dipercayai dan akan diperiksa dengan teliti,” Abbott berkata dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Lembaga Keselamatan Maritim Australia (AMSA) berkata, ia menunjukkan pesawat itu terbang lebih laju daripada anggaran sebelumnya, menyebabkan peningkatan penggunaan bahan api dan mengurangkan kemungkinan jarak perjalanannya ke selatan Lautan Hindi.

“Kemungkinan laluan penerbangan itu boleh menjadi subjek untuk dihalusi lagi sementara pasukan penyiasat antarabangsa yang membantu pencarian itu meneruskan analisis mereka,” kata AMSA dalam satu kenyataan.

Australian Geospatial-Intelligence Organisation pula sedang menyusun semula tugas satelit-satelit bagi mendapatkan imej di kawasan baharu itu.

Pencarian pesawat itu ditangguhkan dua kali dalam minggu ini kerana cuaca buruk tetapi keadaan cuaca bertambah baik pagi Jumaat dengan pesawat-pesawat mula berlepas dari Pangkalan Pearce Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) dekat Perth, selepas jam 6 pagi.

Operasi pada hari ini disertai sembilan pesawat tentera, termasuk dua P3 Orion RAAF, sebuah jet Pengawal Pantai Jepun, sebuah P3 Orion Jepun, sebuah P3 Orion dan sebuah C130 Hercules Korea Selatan, sebuah P3 Orion Tentera Udara Diraja New Zealand, sebuah Ilyushin IL-76 China dan sebuah P8 Poseidon Tentera Laut Amerika Syarikat.

Enam kapal sedang menuju ke kawasan pencarian baru itu, terdiri daripada HMAS Success dan lima kapal Cina. — Bernama

Advertisement