Anda di sini

Insiden MH370: MLKN kaji wujudkan modul baharu

Advertisement

KUALA LUMPUR: Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) sedang mengkaji keperluan untuk mewujudkan modul pembelajaran baharu berikutan insiden pesawat MH370, bagi melahirkan sukarelawan yang cekap dalam bantuan kecemasan.

Pengerusinya Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun berkata modul itu antara lain menekankan aspek kesukarelawan bagi membantu atau memberi sokongan kepada anggota keluarga yang terlibat dalam insiden seumpama itu.

“Kami akan kaji keperluan itu dahulu. Kalau apa-apa modul yang kami rasa boleh membina kekuatan jati diri, kami akan laksanakan,” katanya selepas Majlis Perjumpaan Timbalan Menteri Pertahanan Bersama Komandan-Komandan Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di sini semalam.

Pada majlis itu Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri diwakili oleh Noor Ehsanuddin. Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

Noor Ehsanuddin berkata jika modul baharu itu dilaksana, ia juga akan melihat kepada aspek memupuk perpaduan dan kerjasama semua pihak dalam menangani insiden seumpama itu.

Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang pada 8 Mac, sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada jam 12.41 tengah malam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan pada Isnin bahawa berdasarkan penyiasatan data satelit, pesawat MH370 berakhir di kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi. Operasi mencari masih diteruskan.

Noor Ehsanuddin juga berkata melalui modul baharu yang bakal dilaksanakan MLKN iaitu ‘Malaysiaku Berdaulat’, pelatih-pelatih juga akan diberi kefahaman tentang bagaimana negara ini boleh terdedah kepada ancaman luar.

“Bukan secara langsung kita kata negara ini terdedah kepada pengganas atau sebagainya, kami hanya bagi kefahaman kepada mereka tentang kemungkinan-kemungkinannya (ancaman),” katanya.

Noor Ehsanuddin berkata MLKN menumpukan kepada tiga aspek iaitu perpaduan, kesukarelawan dan memupuk semangat cintakan negara dalam setiap modulnya kepada pelatih-pelatih program itu.

Pada majlis itu, turut diadakan Majlis Penyampaian Sijil MS ISO 9001 :2008 bagi Ibu Pejabat JLKN dan 80 Kem PLKN seluruh negara.

Pelaksanaan MS ISO 9001:2008 itu diharap dapat memastikan sistem kerja di jabatan ini dilaksanakan dengan lebih sistematik dan teratur, sekali gus menghasilkan perkhidmatan yang berkualiti bagi memenuhi kehendak pelanggan dan pihak berkepentingan, kata Noor Ehsanuddin. — Bernama

Advertisement