Anda di sini

Empat pengedar dadah ditahan bersama dadah bernilai RM75,000

Advertisement

KUANTAN: Empat lelaki dipercayai pengedar dadah ditahan polis bersama dadah bernilai RM75,000 di sebuah chalet di Kampung Cherating Lama dekat Cherating di sini Rabu lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata polis turut merampas sepucuk pistol tiruan, sebilah pedang, sebilah pisau dan wang tunai RM400 dalam serbuan itu.

Katanya serbuan jam 6 petang itu dilakukan oleh sekumpulan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Pahang yang diketuai ASP Wan Zulkifly Sahabaludin.

“Hasil pemeriksaan di dalam chalet itu polis menemui lima botol dadah jenis heroin seberat 20.7 gram, dadah jenis ganja seberat 248.6 gram, 2,000 biji pil kuda dan 119 biji pil ekstasi dengan jumlah keseluruhannya bernilai kira-kira RM75,000,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata siasatan awal juga mendapati tiga daripada suspek yang berusia lingkungan 21 hingga 45 tahun dan berasal dari Terengganu itu didapati positif dadah.

Menurut Sharifuddin, dua daripada suspek terbabit bekerja di chalet berkenaan dan turut memiliki rekod jenayah lampau.

“Polis percaya bekalan dadah tersebut dibawa masuk dari Terengganu dan Kelantan untuk diedarkan di sekitar kawasan Cherating dan bandar ini.

“Kumpulan ini juga dipercayai aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak awal tahun 2014,” katanya.

Polis juga masih meneruskan siasatan dan mengesan anggota kumpulan lain yang mungkin terbabit dengan suspek.

Menurut Sharifuddin, semua suspek kini ditahan reman selama seminggu bermula pada Khamis lepas di IPD Kuantan bagi membantu siasatan. — Bernama

Advertisement