Anda di sini

Amah Indonesia dipenjara lapan tahun bunuh bayi

Advertisement

KAJANG: Seorang pembantu rumah warga Indonesia semalam dihukum penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah membunuh bayi lelaki yang baru dilahirkannya dengan menggunakan gunting, Sabtu lepas.

Hakim Nor Hazani Hamzah menjatuhkan hukuman itu terhadap Juliana, 26, dan memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 23 Mac lepas.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Nor Hazani berkata perbuatan tertuduh yang membunuh anak sendiri dilihat sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan.

“Tindakan kamu membunuh anak selepas melahirkannya bukanlah penyelesaian kepada masalah kamu dan hukuman yang mahkamah berikan diharap dapat memberi pengajaran kepada kamu,” kata hakim.

Juliana didakwa membunuh bayi yang baharu dilahirkannya di sebuah rumah di Taman Bukit Kajang Baru pada 9 malam, 22 Mac lepas.

Mengikut fakta kes, pada 23 Mac lepas tertuduh dibawa ke Hospital Serdang oleh majikan selepas mengadu sakit perut dan pemeriksaan doktor mendapati wanita itu baharu bersalin kerana terdapat kesan potongan pada bahagian kemaluannya serta kesan uri yang telah dipotong.

Selepas menerima laporan dan melakukan siasatan, polis mendapati wanita itu telah melahirkan seorang bayi lelaki dan telah menikam leher anaknya dengan gunting sehingga mati serta membalutnya dengan plastik sampah dan disembunyikan di bawah katil.

Terdahulu, peguam Nor Elissa Baharudin yang mewakili Juliana memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya itu terdesak melakukan perbuatan tersebut kerana tidak mahu diberhentikan kerja dan dia penanggung tunggal keluarga dan ibu bapa di Indonesia.

Timbalan Pendakwa Raya Siaw Chooi Chin memohon hukuman berat kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh amat kejam dan hukuman yang bakal diberikan oleh mahkamah bukan hanya memberi pengajaran kepada tertuduh tetapi masyarakat.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang penuntut kolej mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh bayi perempuan yang baharu dilahirkannya di dalam bilik tandas di asrama penginapannya, Ahad lepas.

Noraliza Johari, 20, didakwa melakukan kesalahan itu di dalam bilik tandas di Kolej Kediaman Siswi Kolej Universiti Islam Selangor, Bandar Seri Putra Bangi, di sini pada jam 12.30 tengah hari, 23 Mac lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Siaw Chooi Chin tidak menawarkan sebarang jaminan, namun Noraliza yang tidak diwakili peguam memohon jaminan diberikan kerana dia masih dalam proses berpantang kerana melahirkan anak dan memerlukan penjagaan yang rapi.

Hakim Nor Hazani membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan iaitu pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 29 April untuk sebutan bagi penyerahan dokumen dan lantikan peguam.

Kakak tertuduh membayar wang jaminan itu. — Bernama

Advertisement