Anda di sini

Sektor perikanan negeri ini jadi fokus utama kerajaan

Advertisement

KUCHING: Sektor perikanan negeri ini menjadi fokus utama kerajaan terutama dalam memberi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.

Menurut Pendaftar Persatuan Nelayan Malaysia Datuk Mohd Khazin Hamzah, fokus kerajaan itu sejajar dengan langkah untuk meningkatkan subsektor perikanan sekali gus memastikan nasib nelayan terbela.

“Kerajaan komited dalam melaksanakan inisiatif yang wajar bagi membantu membela nasib para nelayan di seluruh negara dan di Sarawak secara khususnya.

“Pada masa sama, ia juga menjadi usaha kerajaan untuk membantu nelayan-nelayan di bawah Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) untuk meningkatkan lagi taraf ekonomi keluarga serta sosioekonomi nelayan melalui Dasar Transformasi Negara,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif menjadi penekanan utama kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri serta Persatuan Nelayan Sarawak (PENESA) bagi meningkatkan mutu kehidupan nelayan.

Ia termasuk memerangi peranan orang tengah, program Ikan Rakyat serta memperluas pembinaan Pasar Nelayan, ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Pendaftar sempena Sambutan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Persatuan Nelayan Peringkat Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Buntal Ke-36 yang dibacakan oleh Pegawai Wilayah Satu LKIM Kuching Mohd Rizal Sahari, di Dewan Sri Buntal, Kampung Buntal, di sini semalam.

Terdahulu selepas membaca perutusan pendaftar, Mohd Rizal dalam ucapannya berkata, inisiatif itu juga menawarkan kemudahan yang lebih produktif kepada para nelayan laut yang menjadikan subsektor perikanan sebagai punca utama mata pencarian rezeki mereka.

“Antara inisiatif yang ditekankan LKIM ialah untuk memerangi peranan orang tengah yang sering wujud dalam subsektor perikanan negeri ialah dengan pembelian hasil tangkapan nelayan secara terus oleh NEKMAT selain menawarkan harga setanding di pasaran tempatan.

“Melalui inisiatif tersebut, NEKMAT akan mewujudkan stok penimbal untuk dipasarkan secara terus kepada pembeli,” ujarnya.

Selain itu katanya, antara inisiatif lain yang dipertimbangkan LKIM termasuk mengambil alih hutang nelayan serta mengenal pasti bilangan nelayan yang akan dilepaskan daripada keberhutangan, penyediaan tabung pinjaman tanpa faedah kepada nelayan untuk tujuan kecemasan dan tabung pinjaman mudah bagi tujuan untuk pembelian peralatan nelayan.

Sebagai tambahan, LKIM juga menawarkan inisiatif lain kepada nelayan-nelayan merangkumi penambahan 50 pasar nelayan di seluruh Malaysia serta penubuhan pasar tani yang mengamalkan konsep jualan terus secara Fish-On- Wheel (FOW).

Mesyuarat itu menjadi wadah serta medan pertemuan ahli bersama pemimpin persatuan bagi membincangkan hala tuju masa depan nelayan di kawasan Buntal.

Majlis perasmian MAT itu juga menyaksikan penyerahan cek sumbangan bernilai RM56,932.20 daripada PENESA kepada PNK Buntal yang bertujuan menampung tabung bantuan pelajaran anak-anak nelayan PNK Buntal.

Turut hadir Pengerusi PNK Buntal Ariffin Munir, ketua-ketua kampung, ahliahli PNK Buntal serta penduduk setempat.

 

Advertisement