Anda di sini

Pasukan KPDNKK serlah kehebatan

Advertisement

KUCHING: Pasukan KPDNKK membuktikan keunggulannya apabila muncul juara bagi acara ‘Falling Plate’ pada Pertandingan Menembak Jemputan SPRM Sarawak 2013 yang berlangsung di Lapang Sasar IPK Sarawak dekat sini, kelmarin.

KPDNKK yang bertemu pasukan IPD pada pusingan akhir terpaksa akur di tempat kedua apabila KPNDKK berjaya menjatuhkan kesemua plat dengan catatan masa terpantas.

Sementara itu, tempat ketiga dimenangi oleh MBKS dan JKR hanya mampu berpuas hati di tempat keempat.

Bagi acara ‘Counter Fire’ kategori berkumpulan, pasukan Land & Survey menjuarai dengan catatan mata sebanyak 166 diikuti KPDNKK dengan 152 mata dan IPD di tempat ketiga (147 mata).

Manakala untuk kategori individu acara ‘Counter Fire’, juara diterima oleh Awg Baki Awg Bakeri dari Land & Survey dengan jumlah mata sebanyak 87 diikuti naib juara disandang Saiful Sabri dari RTM dengan 81 mata dan tempat ketiga DSP Endut Mehad dari PGA (79 mata).

Sebanyak 13 pasukan terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan serta pihak media telah menyertai pertandingan tersebut.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Timbalan Pengarah SPRM Negeri Wan Mohamad Wan Drahman.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengurus Besar Tabung Baitulmal Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie dan Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Fauzilan Abd Aziz.

Terdahulu, Wan Mohammad memberitahu tujuan pertandingan yang dianjurkan secara tahunan oleh SPRM itu diadakan adalah bagi meningkatkan jalinan kerjasama SPRM dengan jabatan dan agensi kerajaan serta pihak media.

Beliau berharap agar pertandingan ini dapat diteruskan setiap tahun agar kerjasama dalam usaha pencegahan rasuah dan meningkatkan kemahiran menggunakan senjata api dapat diteruskan.

 

Advertisement