Anda di sini

Lelaki miliki bom buatan sendiri ditahan

Advertisement

SANDAKAN: Polis berjaya merampas dua butir bom buatan sendiri untuk memburu babi atau bom babi dan sebilah pisau selepas menahan seorang lelaki tempatan yang sedang menunggang basikal di Bandar Indah Batu 4, malam Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Rowell Marong berkata, suspek berumur 27 tahun itu ditahan oleh pihaknya yang sedang menjalankan rondaan di kawasan berkenaan kira-kira jam 11.30 malam.

Dalam kejadian itu, pihaknya menahan suspek yang sedang menunggang basikal untuk pemeriksaan lanjut, katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap beg pinggang suspek, pihaknya menjumpai sebilah pisau berukuran 6 inci panjang, lastik bersama empat biji guli, lastik serta satu flying feather, sebilah pisau slide dan dua butir bom buatan sendiri iaitu bom babi.

“Bom babi adalah sejenis letupan buatan sendri berbentuk bujur sepanjang kira-kira 3.5cm dan lebar 2.5cm yang digunakan untuk membunuh babi dengan cara disimpan bersama makanan atau diletakkan di kawasan laluan babi,” katanya.

Rowell berkata, apabila babi memakan bahan berkenaan bahan itu akan meletup dan ia juga boleh meletup apabila dipijak atau dipecahkan.

Suspek bersama barang yang dirampas kemudiannya dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut, katanya.

Beliau berkata, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 7(1) (a) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Advertisement