Anda di sini

Kes denggi di Sarawak di bawah paras berbahaya

Advertisement

KUCHING: Kes denggi di Sarawak berada di bawah paras berbahaya setakat Januari hingga Mac 2014 dengan 288 kes dicatatkan berbanding 499 kes bagi tempoh yang sama tahun 2013.

Pengarah Kesihatan Negeri Datu Dr Zulkifli Jantan berkata, daripada 288 kes tersebut, satu kes membabitkan kematian dicatatkan di Serian.

“Meskipun kes denggi menunjukkan trend peningkatan mulai penghujung tahun lepas hingga awal tahun ini, namun jumlah keseluruhan didapati menurun setakat ini.

“Walau bagaimanapun, ingin saya mengingatkan masyarakat agar terus berwaspada dan mengambil langkah pencegahan awal bagi mencegah pembiakan aedes yang mengundang denggi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek dan Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di Bilik Mesyuarat Jabatan Kesihatan Negeri, Jalan Diplomatik di sini semalam.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan Awam Dr Jamilah Hashim berkata denggi boleh dikawal dengan menghapuskan sarang pembiakan aedes.

Justeru, katanya, pihak Jabatan Kesihatan amat mengharapkan sokongan masyarakat untuk membendung pembiakan aedes dengan memusnahkan tempat-tempat pembiakannya.

Pada masa sama, beliau meminta kerjasama masyarakat untuk melakukan pembersihan kawasan persekitaran secara kerap sekurang-kurang 10 minit setiap minggu.

“Denggi amat berbahaya dan boleh mengundang maut.  Sebab itu, pihak Kementerian Kesihatan amat menekankan penjagaan kebersihan terutama di kawasan kediaman dan perumahan.

“Sehubungan itu, masyarakat digesa untuk menghapuskan apa juga benda atau tempat yang boleh menakung air bagi mengelak daripada pembiakan aedes,” katanya.

 

Advertisement