Anda di sini

Bantu kerajaan tambah penyertaan kontraktor bumiputera

Advertisement

KOTA KINABALU: Kontraktor bumiputera perlu berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan bagi membantu kerajaan menambahkan penyertaan golongan bumiputera dalam industri binaan.

Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Datuk Hamisa Samat berkata, sebagai kontraktor, golongan berkenaan hendaklah menyiapkan kerja-kerja yang diamanahkan dengan cekap dan berkualiti.

Menurutnya, tugas yang dilaksanakan dengan jujur, cekap dan amanah adalah seiring dengan harapan kerajaan yang meletakkan keistimewaan kepada bumiputera.

“Kerajaan menyediakan berbagai kemudahan dan keistimewaan bagi menggalakkan penyertaan bumiputera dalam bidang perdagangan dan perindustrian.

“Keistimewaan itu termasuklah penetapan sekurang-kurangnya 30 peratus dari segi nilai kontrak-kontrak kerajaan diberi kepada kontraktor bumiputera.

“Justeru, kerajaan memutuskan untuk melatih sebilangan kontraktor bumiputera supaya menjadi kontraktor yang benar-benar berjaya dan berwibawa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Penutupan Kursus Kontraktor Mencuci Bangunan dan Membersih Kawasan anjuran kementeriannya di sini kelmarin.

Hamisa berkata, pelaksanaan siri kursus kontraktor berkenaan adalah satu-satunya langkah ke arah mencapai matlamat yang ditetapkan kerajaan.

Dengan adanya bantuan kursus yang disediakan kerajaan, pihaknya berharap para peserta memainkan peranan sebagai pelupur dalam industri berkenaan.

“Menjadi seorang kontraktor bumiputera yang berwibawa dan mampu memperkukuhkan keupayaan bumiputera dalam mengurus syarikat, kontraktor perlulah menerapkan etika niaga yang baik serta bersikap positif.

“Di samping itu, semangat dedikasi, ketekunan dan komitmen perlu disemai ke arah budaya kerja yang berkualiti dalam kalangan kontraktor bumiputera,” jelasnya.

Hamisa berkata, seramai 73 peserta melibatkan 41 wanita dan 32 lelaki menjayakan kursus berkenaan.

Menurutnya, kursus anjuran kementeriannya sentiasa mendapat sambutan yang amat mengalakkan.

“Buktinya, sebanyak 33 kursus yang diadakan sejak 2012 melibatkan peserta seramai 1,821 orang berjaya dilaksanakan.

“Sementara itu, pada 2013, sebanyak 34 kursus dan empat Seminar Pematuhan dan Pemantapan Kontraktor diadakan melibatkan peserta seramai 2,583.

“Jumlah peserta yang mengikuti kursus dari 2000 hingga 2013 adalah seramai 13,659 orang. Maklumat Kursus Keusahawanan 2014 sebanyak 36 Kursus dan empat Seminar Pematuhan dan Pemantapan Kontraktor,” jelasnya.

Beliau berkata, tahun ini, enam Kursus Kontraktor dan satu Seminar Pematuhan dan Pemantapan Kontraktor diadakan melibatkan peserta wanita seramai 174 orang dan lelaki 238 orang.

 

Advertisement