Anda di sini

57 KR1M akan dibuka tahun ini

Advertisement

SIBU: Sebanyak 57 Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) akan dibuka di seluruh negara tahun ini dalam usaha kerajaan membantu meringankan beban rakyat akibat kos sara hidup yang semakin meningkat.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, sasaran awal pada tahun ini adalah 60 KR1M, namun tiga telah dibuka dan beroperasi sebelum ini.

Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan agar semua 222 kawasan Parlimen di seluruh negara mempunyai KR1M untuk faedah penduduk.

“Buat masa ini, sejumlah 128 KR1M telah beroperasi, tidak termasuk 57 lagi yang akan dibuka pada tahun ini,” ujarnya kepada pemberita selepas melawat Pasar Sentral Sibu, semalam.

Bagi Sarawak katanya, sasaran tahun ini adalah untuk membuka 16 KR1M.

“Kami berharap dapat membuka KR1M di semua 222 kawasan Parlimen menjelang akhir tahun 2015,” jelas Ahmad Bashah sambil menambah sambutan daripada orang ramai setakat ini amat menggalakkan.

Ditanya sama ada KR1M akan menjual produk segar, beliau memberitahu bahawa projek printis telah dijalankan di Lembah Klang membabitkan 10 kedai.

Projek perintis terbabit katanya, melibatkan kerjasama dengan Kementerian Pertanian.

“Jika sambutan menggalakkan, kami akan memperluaskan makanan segar seperti ikan, sayur-sayuran, ayam dan sebagainya.

“Apabila projek ini sudah dimulakan, kami mahu memastikan bekalan adalah tetap dan tidak berlaku masalah bekalan,” ujarnya sambil berharap projek dapat diperluaskan ke negeri-negeri lain.

Menyentuh mengenai lawatan ke Pasar Sentral Sibu, Ahmad Bashah berkata lawatan bertujuan memastikan peniaga mempamerkan tanda harga pada barangan jualan mereka, sejajar dengan Kempen Pematuhan Tanda Harga yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Beliau memberitahu, mempamerkan tanda harga amat penting bagi membolehkan pengguna membuat perbandingan harga.

“Peniaga perlu meletakkan tanda harga pada semua barang jualan mereka dengan jelas. Kami rasa amat perlu bagi memberi didikan kepada peniaga untuk mematuhi peraturan ini,” jelasnya.

Turut hadir Pengarah KPDNKK Sarawak Stanley Tan, Ketua Pejabat KPDNKK Sibu Balraj Singh serta Pengerusi Parsatuan Penjaja Pasar Sentral Sibu Yiing Chung Ming.

Advertisement