Anda di sini

Tidak dapat lagi bergantung kepada pekerja Indonesia

Advertisement

SOPPOA hargai inisiatif k’jaan ambil pekerja asing lain

KUCHING: Persatuan Pemilik Ladang Kelapa Sawit Sarawak (SOPPOA) menghargai inisiatif kerajaan negeri untuk mempertimbangkan negara lain bagi mengambil pekerja asing.

Setiausahanya Philip Ho berkata inisiatif itu dapat mengatasi kekurangan pekerja sekarang dalam sektor perladangan.

Beliau berkata kekurangan pekerja dan pembaziran dalam sektor perladangan kelapa sawit di negeri ini masih menjadi isu penting.

“Bagi pihak ahli SOPPOA, saya mengalu-alukan inisiatif kerajaan negeri untuk membawa masuk warganegara lain selain dari Indonesia.

“Setakat ini, kerajaan negeri sudah memberi lampu hijau kepada pemain industri di Sarawak untuk merekrut warga Bangladesh,” katanya.

Ho berkata negeri ini tidak dapat bergantung semata-mata kepada Indonesia sebagai sumber tenaga kerja dalam sektor perladangan kerana industri tersebut turut pesat membangun di Indonesia.

“Kami sekarang menghadapi persaingan yang sengit daripada pemain industri di Indonesia,” katanya.

Ho berkata, industri itu di Indonesia sedang berkembang pesat dan menambah ia telah menjadi semakin sukar untuk mendapatkan pekerja tambahan dari negara tersebut.

Menurutnya, SOPPOA sudah memohon kebenaran daripada kerajaan negeri untuk mengambil pekerja asing dari negara lain termasuk Bangladesh, Myanmar dan Filipina.

“Pengambilan pekerja dari Bangladesh akan dilakukan menerusi Kementerian Kemajuan Tanah yang telah membuat perancangan dengan kerajaan persekutuan.

“Kita sekarang mengikuti jejak langkah kerajaan persekutuan yang berurusan dengan kerajaan Bangladesh untuk membawa warganegara mereka ke negara ini sebagai pekerja ladang,” katanya.

Ho berkata, menurut rancangan yang dicadangkan, majikan perlu mengambil pekerja dari Bangladesh di tempat yang telah ditetapkan di Kuala Lumpur seperti yang diputuskan oleh kerajaan.

Bagaimanapun, beliau berkata pengambilan pekerja Bangladesh belum bermula kerana beberapa isu masih perlu diselesaikan.

“Kami telah mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kemajuan Tanah baru-baru ini di mana kami telah memaklumkan beberapa perkara yang perlu diselesaikan.

“Kami mahu kementerian berbincang semula dengan kerajaan persekutuan untuk menyelesaikan perkara-perkara ini sebelum kami dapat mengemukakan permohonan bagi pekerja Bangladesh,” katanya.

Warga Indonesia merangkumi 80 peratus daripada 98, 092 pekerja yang kini bekerja di ladang kelapa sawit di Sarawak.

Bagaimanapun, pengambilan pekerja Bangladesh merupakan satu penyelesaian jangka pendek.

Menurut Ho, SOPPOA turut menghargai reaksi positif daripada kerajaan negeri kepada permintaan mereka untuk menambah kuota pekerja asing.

Beliau berkata nisbah kuota sekarang adalah tujuh hektar bagi seorang pekerja berbanding lapan hektar bagi seorang pekerja sebelum ini.

Katanya SOPPOA sebenarnya telah meminta nisbah enam hektar bagi seorang pekerja.

Advertisement