Anda di sini

Polis tahan lelaki miliki 18 peket disyaki syabu

Advertisement

SIBU: Pasukan polis dari Balai Polis Lanang menahan seorang lelaki kerana memiliki 18 peket disyaki dadah jenis Methamphetamine atau lebih dikenali sebagai syabu, awal pagi Isnin lepas.

Polis yang melakukan rondaan rondaan di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce pada 3.30 pagi telah terserempak dengan sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki berbangsa Cina dalam keadaan yang mencurigakan.

Apabila polis menahan kereta tersebut dan memeriksa tubuh badan suspek berumur 39 tahun itu, mereka menjumpai sebanyak 18 peket syabu seberat 12.77 gram dan tiga biji pil Eramin 5 seberat 0.90 gram disyaki mengandungi Methamphetamine.

Lelaki tersebut kemudiannya dibawa ke balai dan direman selama tiga hari untuk membantu siasatan polis.

Kes tersebut akan disiasat mengikut seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Jika disabit kesalahan pesalah boleh dipenjara tidak kurang daripada dua tahun dan dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada tiga sebatan.

Sementara itu dalam kes berasingan, pasukan polis yang diketuai oleh Tengku Faisal menahan seorang lelaki berbangsa Cina berumur 42 tahun kerana memiliki dadah dipercayai jenis syabu malam Ahad lalu.

Pasukan polis yang melakukan satu serbuan ke atas sebuah bilik sewa di Jalan Archer di sini merampas satu peket dadah jenis Methaphetamine seberat 0.75 gram daripada suspek.

Jika sabit kesalahan suspek boleh didenda tidak lebih daripada RM100,000 atau penjara tidak kurang daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Suspek juga telah direman selama empat hari bagi membantu siasatan lanjut.

Advertisement