Anda di sini

Pasangan kekasih dirompak, diacu pisau

Advertisement

Tiga lelaki menaiki kereta curi rompak dan belasah mangsa, larikan motosikal YamahaSYARIKAT

KUCHING: Gara-gara berdua-duaan di kawasan sunyi, sepasang kekasih hilang barang kemas dan motosikal dilarikan tiga perompak bersenjatakan pisau awal pagi semalam.

Insiden tersebut menimpa seorang lelaki berusia 33 tahun bersama teman wanitanya, 32, yang pada masa itu berada di kawasan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama di Petra Jaya sekitar jam 1 pagi.

Difahamkan, mereka didatangi tiga lelaki tidak dikenali dengan menggunakan sebuah kereta jenis Perodua Kenari di mana seorang daripada lelaki tersebut telah mendekati mereka dan terus mengacukan pisau.

“Lelaki (suspek) tersebut kemudian mengarahkan mereka (mangsa) menyerahkan barang berharga kepadanya, selain terus bertindak menarik rantai emas serta telefon bimbit wanita berkenaan.

“Melihat keadaan sedemikian, teman lelaki wanita itu cuba melawan tetapi dua lagi lelaki (suspek) keluar dari dalam kereta Kenari tersebut dan terus membelasahnya,” kata sumber.

Sejurus itu, ketiga-tiga perompak berkenaan beredar dengan menunggang motosikal jenis Yamaha Ego milik mangsa dan meninggalkan kereta Kenari yang digunakan mereka di tempat kejadian.

Mangsa kemudian segera menghubungi pihak polis untuk bantuan.

Setiba pihak polis di tempat kejadian mendapati kereta Perodua Kenari tersebut adalah kereta curi yang telah dilaporkan hilang di kawasan Padungan, di sini pada Khamis minggu lepas.

Laporan polis berhubung kejadian telah dibuat oleh mangsa dan siasatan masih dijalankan.

Advertisement