Anda di sini

M’sia sangat serius membanteras rasuah

Advertisement

Satu-satunya negara yang menjadikan usaha membanteras rasuah sebagai KPI

KUCHING: Malaysia merupakan satu-satunya negara yang menjadikan usaha membanteras rasuah sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) negara, kata Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Datuk Bahri Mohamad Zin.

Menurutnya, ini membuktikan kerajaan sangat serius dalam memerangi jenayah rasuah di negara ini.

“Usaha meletakkan SPRM sebagai entiti bebas merupakan satu perubahan besar selaras dengan hasrat masyarakat yang mahukan entiti pencegahan rasuah yang bebas, telus dan profesional.

“Malah, boleh saya katakan SPRM satu-satunya institusi kerajaan yang memperlihatkan ketelusan tertinggi dalam negara ketika ini dengan adanya lima panel bebas yang sentiasa memantau perjalanan SPRM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Pengarah SPRM Negeri Wan Mohamad Wan Drahman pada perasmian Pertandingan Menembak Jemputan SPRM Sarawak 2013 di Lapang Sasar IPK Sarawak di sini, semalam.

Tambahnya, antara lain pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Berkaitan Rasuah menunjukkan kesungguhan kerajaan meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam agar lebih efisien dan efektif melalui nilai etika kerja serta tahap integriti yang tinggi oleh warga perkhidmatan awam.

Namun begitu, persepsi masyarakat menjadi cabaran utama kepada SPRM dalam melaksanakan tanggungjawab yang cukup besar untuk memerangi rasuah di negeri ini.

“Semua pihak harus sedar usaha membanteras jenayah rasuah tidak boleh diserahkan kepada SPRM semata-mata.

Mengulas lanjut, Bahri menyifatkan penganjuran program tersebut semalam membolehkan SPRM berinteraksi dengan lebih efektif bagi menyampaikan maklumat antirasuah serta mempromosikan usaha pencegahan rasuah kepada agensi kerajaan dan pihak media.

“Sejak beberapa tahun lepas, SPRM melaksanakan Kempen Perangi Pemberi Rasuah bagi memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa agensi kerajaan terutama agensi penguat kuasa undang-undang sentiasa berganding bahu bersama SPRM dalam usaha memerangi pemberi rasuah.

“Justeru, setiap ketua jabatan dan agensi kerajaan bertanggungjawab memastikan kesedaran terhadap integriti dan semangat antirasuah disemai di kalangan setiap penjawat awam secara berterusan,” katanya.

Beliau turut berharap penjawat awam dapat melaporkan sebarang suapan rasuah sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 iaitu mana-mana orang yang gagal melapor permintaan atau penerimaan rasuah boleh dihukum denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie dan Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Fauzilan Abdul Aziz.

Advertisement