KUALA LUMPUR: Seorang pakar semalam menyarankan agar ‘literasi media’ dijadikan subjek di sekolah dan institusi pengajian tinggi bagi membendung penyebaran maklumat tidak tepat susulan ledakan era maklumat sekarang.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Mohamad Md Yusoff berkata usaha itu diyakini dapat mendidik masyarakat dalam membezakan berita sahih dan tidak sahih lantaran kewujudan banyak ‘wartawan segera’ sekarang.
Kewujudan laman sosial dan Internet yag bebas berkongsi maklumat mewujudkan ‘wartawan segera’ yang mengeluarkan berita tanpa kesahihan sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, katanya kepada Bernama.
Menurutnya wartawan segera tidak memahami etika dan peraturan kewartawanan, sekali gus mudah berkongsi maklumat yang diterima tanpa mendapatkan pengesahan daripada pihak berwajib.
Katanya menerusi subjek literasi media, masyarakat, khususnya golongan muda boleh diajar kemahiran untuk mengakses, menganalisis, menilai dan menghasilkan mesej serta berita menggunakan media.
“Orang sekarang kebanyakannya mudah sahaja mendengar dan menerima apa yang mereka lihat, dengar, dan baca melalui media-media sosial dan Internet, kerana mereka tidak tahu bagaimana caranya untuk membezakan berita yang palsu dan sebaliknya,” katanya.
Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB) Mohamed Sabri Mohd Arsad berpendapat cadangan itu suatu yang baik.
“…tapi lebih elok jika serapkan ia ke dalam satu-satu mata pelajaran, kerana pelajar ada 10 waktu,” kata Mohamed Sabri.
Beliau turut mencadangkan mata pelajaran itu disesuaikan dengan peringkat umur agar objektif dapat dicapai.
Pandangan sama turut diutarakan Dekan Sekolah Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah, Prof Datuk Mohd Hamdan Adnan yang berpendapat literasi media boleh diserapkan dalam mata pelajaran yang sedia ada. — Bernamarusan. — Bernama