Anda di sini

Lelaki mengamuk pecahkan mesin ATM diberkas polis

Advertisement

MIRI: Polis berjaya memberkas seorang lelaki yang disyaki mengamuk dan memecahkan dua buah mesin ATM dalam satu kejadian yang berlaku di sebuah bank di Pusat Komersil Centre Point 1 di sini, malam kelmarin.

Suspek yang berusia 44 tahun ditangkap beberapa minit selepas kejadian di kawasan premis bank berkenaan.

Terdahulu menurut sumber, sekitar jam 9.30 malam, suspek datang ke premis bank berkenaan sebelum tiba-tiba mengamuk dan mengambil sebatang kayu besbol lalu bertindak memecahkan dua mesin ATM berkenaan.

Tindakannya itu telah disedari oleh seorang pengawal keselamatan yang membuat rondaan di premis bank tersebut.

Justeru, pengawal terbabit segera menghubungi pihak polis untuk memaklumkan tentang insiden itu.

Sepasukan polis dari Unit Kereta Peronda bergegas ke tempat kejadian dan menangkap suspek yang masih berada di situ.

Semasa tangkapan dibuat, polis turut merampas sebatang kayu besbol untuk dijadikan barang kes dan suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk disoal siasat lanjut.

Advertisement