Anda di sini

Lebih 500 belia disasar gegar acara MeetUpKch

Advertisement

KUCHING: Lebih 500 golongan belia daripada pelbagai organisasi disasar menggegarkan acara MeetUpKch yang akan diadakan selama dua hari bermula Sabtu ini di Le Park, Dewan Suarah Kuching.

Pengarah Operasi Hands on the Crown (HAC) Management Hanne Saran berkata, acara kemasyarakatan itu adalah khusus untuk mewujudkan persekitaran selamat di mana belia dapat bergaul, berinteraksi dan meningkatkan aspirasi mereka dalam bidang masing-masing.

“Acara pada hujung minggu itu nanti akan menyaksikan penyertaan daripada penduduk tempatan, sekolah, universiti dan kolej yang menyediakan peluang kepada belia daripada pelbagai latar belakang untuk berinteraksi serta bergaul antara satu sama lain,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Menurutnya, karnival belia yang dianjurkan HAC Management dan disokong oleh ouryouth.my, Conquerors Wawasan Sdn Bhd dan Kuching Street Workout itu akan menyaksikan penghibur-penghibur berbakat pada konsert Earth Hour dan Konsert MeetUpKch.

“Kami akan menampilkan penghibur berbakat seperti Sonaone dan DJ Biggie pada konsert MeetUpKch, Ahad ini,” katanya pada sidang media semalam.

Antara yang membuat persembahan pada hari pertama adalah Ryn daripada Yoyo Blitz, Skyrockets, Soulcathez, Heroine, REZ daripada Spotlight, Uding Luhat, Swaiv dan Cariee, Drumcall Community, Moonlight, AiSi dan DJ Dzul.

Manakala pada keesokan harinya, konsert itu akan dimeriahkan oleh Sonaone dan DJ Biggie, Koir Lim Kok Wing, Silwayd, SHGM, Century Music, Wings of Aerelia, Love Comes, Sree Siva Puthiren Urumee Melam, Jejak Biru, Happily Ever After, Stepholic dan DJ Ladyganz.

Acara yang akan bermula dari jam 9 pagi hingga 11 malam itu akan menyaksikan kejohanan futsal, pameran akustik, pertandingan bola keranjang, pasar lambak, jualan makanan, kempen derma darah, pameran kereta klasik dan Konsert Earth Hour.

Manakala pada hari Ahad pula, pusingan kedua kejohanan futsal akan diadakan, selain pameran akustik, pasar lambak, gerai makanan, MeetUpKch gig dan Konsert MeetUpKch.

Pendaftaran untuk kejohanan futsal itu kini dibuka dengan bayaran pendaftaran RM150 setiap pasukan, di mana pertandingan itu menyaksikan wang tunai RM1,000 untuk hadiah juara manakala naib juara dan ketiga masing-masing akan membawa pulang RM800 dan RM500.

Acara itu turut membuka peluang kepada penduduk tempatan membuka pasar lambak serta gerai makanan dengan sewa hanya RM100 bagi ruang gerai.

Kemasukan untuk MeetUpKch adalah percuma dan semua dialu-alukan.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian 013-8680651 (Hanne) atau e-mel saran.hanne@ yahoo.com atau lawat laman Facebook mereka di www.facebook.com/meetupkch.

Advertisement