Anda di sini

Keluarga penumpang, kru perlu reda ketentuan Allah

Advertisement

Walaupun takdir itu perit, namun perlu terima seadanya

KUALA LUMPUR: Keluarga penumpang dan kru pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang beragama Islam, perlu reda menerima qada’ dan qadar atau kehendak Allah di atas tragedi yang menimpa pesawat berkenaan.

Presiden Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) Ismail Mina menasihatkan mereka agar menerima dengan hati terbuka berita yang menyedihkan itu biarpun ianya pahit untuk ditelan.

“Setiap umat perlu percaya Rukun Iman keenam itu, walaupun takdir itu perit namun perlu terima seadanya dan perlu bersangka baik kerana ada hikmah untuk setiap kejadian.

Bukan semua orang diuji, ujian itu berbeza-beza menandakan kasih sayang Allah kepada hamba-Nya kerana Dia ingin melihat sejauh mana kekuatan dan kepercayaan kita kepada-Nya,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Semua makhluk hanya dipinjamkan Allah sahaja dan akan diambil balik pada bila-bila masa sahaja mengikut keadaan serta masa yang telah ditentukanNya, kata beliau.

Beliau berkata daripada segi hukum agama, mangsa di dalam pesawat berkenaan dikategorikan sebagai mati syahid dunia selain wanita yang meninggal dunia sewaktu melahirkan anak.

Sementara itu, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Datuk Nik Mustapha Nik Hassan berpendapat setinggi mana kemajuan teknologi masa kini, ianya tidak mampu melawan ketentuan Allah kerana manusia ada batas kuasanya.

Beliau berkata keluarga mangsa perlu bertenang, menerima kejadian itu dan merenung kembali kuasa Tuhan selain terus mendoakan ahli keluarga masing-masing yang berada di dalam pesawat berkenaan.

“Kita jangan melawan kuasa Tuhan. Kuasa kita ada batasan namun kuasa Tuhan tiada batasannya,” katanya.

Pesawat malang MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang daripada skrin radar, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada jam 12.41 tengah malam 8 Mac.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Bagaimanapun, selepas 17 hari pencarian, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa penerbangan MH370 itu berakhir di selatan Lautan Hindi. — Bernama

Advertisement