Anda di sini

Jiran prihatin selamatkan rumah daripada musnah

Advertisement

TERBAKAR: Kelihatan seorang anggota bomba sedang memadam kebakaran yang memusnahkan bilik stor di rumah seorang bekas temenggung dalam kejadian awal pagi semalam.

MIRI: Tindakan pantas seorang jiran prihatin menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat telah menyelamatkan sebuah rumah milik bekas temenggung daripada musnah dijilat api dalam kebakaran yang berlaku di Taman Hilltop di sini, awal pagi semalam.

Menurut sumber, kebakaran yang bermula di bilik stor yang terletak di tingkat atas rumah konkrit dua tingkat itu mula dilihat oleh seorang jiran sekitar jam 6 pagi.

Difahamkan semasa kejadian, hanya dua pembantu rumah warga Indonesia berada di situ, manakala bekas temenggung dan isteri telah keluar berjoging ke taman rekreasi berhampiran.

Sebaik ternampak kepulan asap hitam dan api, jiran terbabit terus menghubungi pihak bomba untuk meminta bantuan dan memberitahu tentang kebakaran tersebut kepada dua pembantu rumah terbabit yang sedang menyiram bunga di luar rumah.

Seorang daripada pembantu rumah terbabit yang hanya dikenali sebagai Madana, 19, memberitahu bahawa mereka tidak menyedari tentang kebakaran itu kerana masing-masing berada di luar rumah menyiram bunga.

“Api bermula di bilik stor yang terletak di tingkat atas dan kami hanya menyedarinya setelah dimaklumkan jiran sebelah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Kebakaran tersebut telah memusnahkan keseluruhan bilik stor berkenaan.

Sementara itu, pihak bomba yang menerima panggilan kecemasan pada jam 6.32 pagi bergegas ke tempat kejadian bersama tiga jentera dengan kekuatan 15 anggota.

Bomba yang tiba di tempat kejadian beberapa minit kemudian berjaya mengawal api daripada merebak ke seluruh bahagian rumah dan api telah dipadamkan sepenuhnya pada jam 6.49 pagi.

Punca sebenar kebakaran serta nilai kerugian masih belum dapat dipastikan dan pihak bomba masih menjalankan siasatan lanjut.

Advertisement