Anda di sini

Jasa Robert Lau Hoi Chew terus dikenang

Advertisement

Kompleks Datuk Robert Lau Hoi Chew di SMK Sacred Heart bakal dirasmi Adenan pada 6 April

SIBU: Kompleks Datuk Robert Lau Hoi Chew di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sacred Heart bakal dirasmikan oleh Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem pada 6 April depan, jam 11 pagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Semula SMK Sacred Heart Temenggung Vincent Lau Lee Ming berkata, upacara bersejarah itu akan berlangsung di Dewan Mill Hill La Salle, SMK Sacred Heart.

“Tetamu jemputan khas iaitu isteri mendiang, Datuk Kapitan Janet Lau Ung Hie dan anak-anak mereka akan diundang menyaksikan hari bersejarah itu,” jelasnya ketika ditemui pada sidang media, semalam.

Hadir sama ialah Naib Presiden dan Bendahari Jawatankuasa Pembangunan Semula SMK Sacred Heart Gregory Hii dan Yong King Sung serta Pengetua SMK Sacred Heart Stephen Tan.

Lau berkata, mendiang Datuk Robert Lau telah berjasa dalam pembangunan semula SMK Sacred Heart dan sekolah mubaligh lain.

“Mendiang terlibat dalam pembangunan semula SMK Sacred Heart yang dilaksanakan dalam dua fasa iaitu fasa pertama dengan pembinaan Bangunan Datuk Hii Yii Peng (2002) dan Pusat Hua Seng-KTS (2004).

“Selain itu, pembangunan lain ialah Taman Sukan Dato Tufail Mahmud, Pusat Skuasy Lau Swee Nguong dan gelanggang terbuka bola keranjang, bola tampar dan tenis,” ujarnya.

Katanya mendiang yang meninggal dunia pada 9 April 2010 telah menjadi kehilangan besar, namun ia menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pembangunan semula fasa kedua sekolah  pada 19 November 2010.

“Ini melibatkan pembinaan Pusat Shamrock Concourse. Penyiapan sepenuhnya kompleks pada tahun 2012, telah membolehkan satu sesi persekolahan dijalankan bermula tahun 2013.

“Di samping itu, cadangan Jabatan Pendidikan Negeri untuk memulakan Pusat Tingkatan Enam turut dilaksanakan pada tahun 2015,” jelasnya.

Lau memberitahu, Lembaga Pengurusan Jawatankuasa Pembangunan Semula SMK Sacred Heart telah membuat keputusan untuk menamakan kompleks itu sebagai Kompleks Datuk Robert Lau Hoi Chew.

“Kemudahan yang disediakan melibatkan 24 bilik kelas, dua bilik makmal, dua  dewan kuliah, bilik staf, bilik seni dan bengkel elektronik,” katanya.

Sehubungan itu, Lembaga Pengurusan Jawatankuasa Pembangunan Semula SMK Sacred Heart menjemput ahli-ahli Persatuan Bekas Pelajar Sacred Heart dan Persatuan Alumni Sacred Heart Kuching dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) hadir menyaksikan hari bersejarah itu.

SMK Sacred Heart bakal dirasmi Adenan pada 6 April

Advertisement