Anda di sini

Hishammuddin terima kunjungan Timbalan Menteri Luar China

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam menerima kunjungan Timbalan Menteri Luar China Zhang Yesui di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Zhang, yang juga wakil khas kepada kerajaan China tiba pada kira-kira jam 2 petang, sebelum mengadakan pertemuan empat mata dengan Hishammuddin.

Terdahulu, Zhang mengunjungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya.

Kunjungan Zhang dipercayai bagi membincangkan tentang penerbangan MH370 yang dikendalikan oleh Malaysia Airlines (MAS) yang pada Isnin penerbangan itu disahkan berakhir di bahagian selatan Lautan Hindi.

Dalam pertemuan kira-kira setengah jam dengan Hishammuddin, Zhang diiringi Duta China ke Malaysia Dr Huang Huikang serta beberapa anggota delegasi dari negara itu.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman, dan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Rodzali Daud.

Selain daripada 12 orang anak kapal, pesawat malang MH370 itu membawa 227 penumpang dengan 154 daripadanya merupakan warga China.

Penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang daripada skrin radar, kira-kira sejam setelah berlepas pada jam 12.41 pagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 8 Mac.

Selepas usaha mencari dan menyelamat masuk hari ke-17, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin mengumumkan bahawa berdasarkan kepada siasatan syarikat satelit Inmarsat dan Air Accident Investigation Branch di Britain penerbangan MH370 telah berakhir di selatan Lautan Hindi.

Semalam, kira-kira 200 orang anggota keluarga penumpang warga China berarak dengan membawa sepanduk di depan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, China bagi melahirkan kekecewaan mereka berkaitan berita tentang nasib pesawat itu. — Bernama

Advertisement