Anda di sini

Forum Perjanjian Malaysia 1963 akan bongkar agenda perlu diketahui rakyat

Advertisement

KUCHING: Forum Perjanjian Malaysia 1963 – Dahulu, Sekarang dan Masa Hadapan akan diadakan pada 27 April bermula jam 2 petang di Dewan Samling, Persatuan Gereja-gereja di Stampin di sini.

Ia bakal membongkar pelbagai agenda negara yang perlu diketahui rakyat di Kepulauan Borneo terutama tentang hak masing-masing.

Menurut Pengerusi Yayasan Warisan Borneo Sabah Datuk Dr Jeffery Kitingan, beliau terdorong untuk bersama-sama menjayakan forum sebagai langkah ‘menyelamatkan hak rakyat Sarawak’.

“Saya terdorong apabila bekas Ketua Menteri sebelum beliau bersara dan mengambil tempat di kedudukan baharu selalu mahukan kita menjaga hak rakyat Sarawak dan pastikan Perjanjian Malaysia diimplementasikan dan jangan biarkan UMNO memasuki Sarawak, saya rasa itu adalah mesej yang penting.

“Dan kita terpanggil dengan Ketua Menteri yang baharu Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem yang turut menyatakan perkara yang sama, justeru saya mengharapkan masih ada harapan pada masa akan datang,” katanya pada sidang media yang dipengerusikannya semalam.

Jelas beliau, masih ramai antara kita yang tidak tahu kedudukan kita di Sabah dan Sarawak dalam Malaysia.

Ia agak memeranjatkan selepas 50 dan 51 tahun penggabungan kita.

Katanya, rakyat Sabah dan Sarawak dibuat untuk mempercayai bahawa kedua-dua negeri menyertai Malaysia dan Hari Kemerdekaan Malaya dijadikan sebagai Hari Kemerdekaan Malaysia. Tambah menyedihkan ia juga diajar di sekolah-sekolah.

Jeffery berkata disebabkan majoriti rakyat di kedua-dua negeri tidak memahami akan kesedaran itu, maka adalah baik ia dipupuk di kalangan masyarakat untuk menyertai forum itu yang akan diadakan pada 27 April ini.

“Saya tengok ramai persatuan Dayak di sini bersatu hati dan begitu juga dengan kerajaan pembangkang, semuanya berkumpul dalam satu dewan untuk menjayakan sesuatu yang positif.

“Forum yang sama telah diadakan di Sabah sebelum ini dan ia merupakan proses lanjutan dengan apa yang terjadi di Sabah, lebih ramai golongan belia dan kumpulan wanita yang menyertai,” katanya.

Penceramah yang akan membentangkan kertas kerja mereka adalah Datuk Sri Pang-lima Yong Teck Lee (Sabah), Patrick Anek Uren (Sarawak), Waythamoorthy Ponnusamy (Semenanjung Malaysia) dan seorang peguam yang bekerja di Australia, Robert Pei.

Advertisement