Anda di sini

Austria puji Malaysia tangani tragedi MH370

Advertisement

KUALA LUMPUR:  Austria semalam menitipkan semangat buat Malaysia agar tabah menerima takdir dalam tragedi pesawat Malaysia Airlines(MAS) MH370 dan cekal menghadapi tohmahan yang dilemparkan pelbagai pihak terhadap kerajaan Malaysia.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata Austria menerusi Duta Besarnya di Malaysia Christophe Ceska turut memuji Malaysia kerana telah melakukan yang terbaik dalam operasi mencari dan menyelamat Penerbangan MH370 itu sejak lebih dua minggu lalu.

“Beliau (Christophe Ceska) meluahkan rasa simpati…bahawa apa yang berlaku (tragedi MH370) belum pernah berlaku di dunia. Ceska turut berkata bahawa suara-suara sumbang dari pelbagai pihak, media di Malaysia atau luar negara adalah sesuatu yang biasa, di mana-mana negara pun.

“Apa yang penting beliau berpendapat, sepanjang Austria mengikuti perkembangan insiden itu, Austria sendiri berpuas hati dengan langkah, tindakan dan segala yang dibuat sedaya upaya oleh kerajaan Malaysia dan negara-negara lain yang terlibat,” katanya kpada Bernama selepas menerima kunjungan hormat  Ceska di pejabatnya di Bangunan Parlimen di sini semalam.

Pesawat malang MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang daripada skrin radar, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada jam 12.41 tengah malam 8 Mac.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi hari yang sama.

Bagaimanapun, selepas 17 hari pencarian, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

Mengulas lanjut mengenai kunjungan hormat itu, Pandikar Amin berkata ia bertujuan membincangkan isu semasa berkaitan kedua-dua negara selain mengeratkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Austria. — Bernama

Advertisement