Anda di sini

Ada bunyi letupan sebelum enjin Malindo Air terbakar: Saksi

Advertisement

KUALA TERENGGANU: Seorang penumpang pesawat Malindo Air yang sebuah enjinnya terbakar ketika dalam penerbangan dari Subang ke sini semalam berkata, beliau terdengar bunyi letupan sebelum melihat api di bahagian itu.

“Saya hanya mampu berdoa agar tiada perkara buruk menimpa kami,” kata Mohd Fazi Subri, pemain tengah pasukan bola sepak Terengganu, iaitu antara 53 penumpang penerbangan itu.

Beliau yang ditemui pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini berkata, kejadian berlaku ketika pesawat baharu sahaja berlepas dari Lapangan Terbang Subang.

“Kesemua penumpang agak panik namun sikap profesional kru serta juruterbang berjaya mengawal keadaan,” katanya.

Malindo Air dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur mengesahkan kejadian dan memberitahu pesawat itu berpatah balik ke Lapangan Terbang Subang serta mendarat dengan selamat.

Tiada kecederaan dilaporkan.

Kejadian berlaku ketika pesawat itu berada di ketinggian 7,000 kaki setelah berlepas dari lapangan terbang berkenaan pada jam 7.30 pagi.

Menurut pemain pertahanan pasukan, Mohd Zubir Azmi pula, selepas selamat mendarat mereka pada mulanya mahu pulang ke Terengganu dengan menaiki bas kerana takut dengan kejadian yang dilalui.

“Akan tetapi pihak syarikat penerbangan memberi kami penerbangan ganti yang berlepas jam 11.15 pagi tadi (semalam),” katanya.

Pasukan Terengganu ketika itu dalam perjalanan pulang selepas perlawanan menentang pasukan ATM di Stadium Selayang kelmarin.

Terengganu membenam ATM 3-0. — Bernama

Advertisement