Anda di sini

Visa dikeluarkan selepas bukti kukuh diperolehi

Advertisement

SEPANG: Malaysia Airlines (MAS) bersedia menerbangkan anggota keluarga penumpang pesawat MH370 yang mengakhiri penerbangannya di selatan Lautan Hindi, ke Australia.

Bagaimanapun, MAS dimaklumkan oleh kerajaan Australia bahawa visa hanya akan dikeluarkan selepas bukti-bukti sahih mengenai penemuan pesawat tersebut diperoleh.

Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya berkata persiapan sedang diuruskan untuk membawa waris terdekat ke kawasan penemuan serpihan, atas permintaan mereka, sebaik sahaja MAS mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa siasatan.

Ketika ditanya sama ada beliau bersetuju dengan syarat yang ditetapkan oleh kerajaan Australia, beliau berkata: “Secara peribadi, saya tidak bersetuju dengan (syarat). itu. (Bagaimanapun) saya tidak boleh bersuara bagi pihak Kerajaan Australia.

“Kami berada di sini cuma untuk memastikan kami menyokong keluarga tersebut untuk memenuhi hasrat mereka.”

Ahmad Jauhari berkata demikian pada sidang media di kawasan Anjung Tinjau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam. Turut hadir pengerusi MAS Tan Sri Md Nor Md Yusof.

Malam kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Penerbangan MH370, yang hilang di Laut China Selatan ketika terbang dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, telah mengakhiri penerbangannya di selatan Lautan Hindi.

Sementara itu, Md Nor menegaskan bahawa kebajikan keluarga terlibat akan diberi keutamaan dan perhatian utama, sekali gus menyangkal laporan bahawa keluarga dari Beijing, yang diterbangkan di sini sejak pesawat dilaporkan hilang pada 8 Mac, ditempatkan di kawasan terpencil.

“Kami menempatkan mereka di kawasan yang mereka berasa selesa dan tanpa gangguan. Mereka diberi akses kepada anggota sukarelawan. Pengangkutan disediakan apabila perlu untuk pergi ke tempat beribadat.

Beliau berkata layanan adalah perkara subjektif dan dua orang tidak akan mempunyai pendapat yang sama mengenai isu tersebut.

Sementara itu, Md Nor dan Ahmad Jauhari enggan menjawab soalan tentang apa yang mungkin telah berlaku kepada pesawat Boeing 777-200ER, atau mengulas mengenai siasatan pihak berkuasa terhadap anak kapal syarikat penerbangan itu kerana tidak mahu menjejaskan siasatan.

Ahmad Jauhari berkata adalah lebih baik mereka tidak membuat spekulasi kerana MAS memilki pesawat tersebut.

Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada skrin radar ketika terbang dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada jam 12.41 tengah malam 8 Mac.

Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing jam 6.30 pagi pada hari yang sama. — Bernama

Advertisement