Anda di sini

Tukang masak mati dalam bilik sewa

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang tukang masak warga asing mati selepas dipercayai diserang sakit jantung dalam satu insiden di bangunan Api-Api Centre, di sini pagi kelmarin.

Mangsa,  Azees Meerasha, 44, warganegara India itu disahkan meninggal dunia di dalam bilik sewa yang dikongsi bersama rakan-rakannya kira-kira jam 8.30 pagi.

Terdahulu sebelum insiden itu, mangsa dikatakan mengadu sakit dada kepada rakan-rakannya lalu bergegas ke sebuah klinik yang terletak di bawah bangunan bilik sewa mereka.

Bagaimanapun sejurus tiba ke lif bangunan berkenaan, mangsa dipercayai rebah secara tiba-tiba.

Mangsa kemudiannya dipapah ke bilik sewa mereka dan beberapa rakannya bertindak memaklumkan perkara itu kepada majikan mereka sebelum meminta bantuan daripada ambulans.

Pihak perubatan yang tiba di tempat kejadian kemudiannya mengesahkan mangsa meninggal dunia.

Ketua Polis Kota Kinabalu Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal, tiada sebarang aspek jenayah berlaku dalam kejadian itu dan mengklasifikasikannya sebagai kes mati mengejut.

“Mayat mangsa akan dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat dan tindakan lanjut,” katanya di sini kelmarin.

 

 

Advertisement