Anda di sini

Tingkatkan inisiatif jaga kenderaan elak dicuri

Advertisement

TAWAU: Orang ramai digesa meningkatkan inisiatif penjagaan kenderaan masing-masing berikutan peningkatan statistik kes kecurian kenderaan untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar Dullah berkata, kecuaian pemilik dan pemandu kereta serta penunggang motosikal dikenalpasti punca utama berlakunya kes terbabit.

“Kita mengesyaki kecuaian sebagai faktor utama yang mendorong penjenayah melakukan kegiatan jahat mereka dan mengambil kesempatan,” katanya di sini kelmarin.

Beliau berkata, orang ramai perlu mengubah sikap supaya lebih berwaspada khususnya sebelum meninggalkan kenderaan termasuk tidak meninggalkan barang berharga di kereta.

Awang berkata, wujud kes-kes kehilangan kereta di daerah ini juga berpunca akibat kecuaian pemandu kenderaan yang tidak mematikan enjin sebelum meninggalkan kenderaan mereka.

“Kita sudah seringkali mengingatkan orang ramai supaya memasang sistem penggera, kekunci stereng dan gear sebagai langkah meningkatkan lagi kawalan keselamatan kenderaan.

“Malah, kita juga selalu menasihatkan orang ramai supaya tidak meletakkan kenderaan ataupun motosikal di kawasan yang gelap dan memasang kunci tambahan,” katanya.

Beliau berharap orang ramai khususnya pengguna kenderaan memandang serius aspek keselamatan kenderaan untuk mengelak jenayah serupa berulang.

Menurutnya, kerjasama orang ramai dalam memastikan keselamatan kenderaan masing-masing secara tidak langsung membantu mengurangkan indeks jenayah di daerah ini.

 

Advertisement