Anda di sini

Seluruh ahli keluarga Andrew bersedih

Advertisement

SEDIH: Anisah (kiri) bersama beberapa orang penduduk Rumah Catherine bersedih dengan nasib
yang menimpa Andrew serta pesawat malang MH370 ketika ditemui, semalam.

SIBU: Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai nasib pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 malam kelmarin begitu menyedihkan seluruh ahli keluarga ketua pramugara pesawat, Andrew Nari, di sini.

Kesedihan itu dikongsikan bersama apabila lebih kurang 15 ahli keluarga terdekat Andrew berkumpul di Rumah Catherine Tamoh, Sungai Aup malam kelmarin dari jam 10.30 malam hingga 2.30 pagi.

Menurut ibu saudara Andrew, Christina Anisah, 60, mereka semua amat sedih apabila mendengar berita serta pengumuman yang dibuat Perdana Menteri menerusi televisyen malam kelmarin.

“Kami sekeluarga amat sedih selepas mendengar berita yang perjalanan pesawat malang itu telah berakhir di Lautan Hindi,” ujarnya kepada pemberita, semalam.

Anisah memberitahu, mereka semua tidak dapat menahan kesedihan kerana tidak menjangkakan semua ini boleh berlaku.

Beliau juga memberitahu ada menerima panggilan daripada ibu Andrew, Tuai Rumah Catherine Tamoh yang kini berada di Kuala Lumpur, pagi semalam.

“Kira-kira jam 9.30 pagi tadi (semalam) saya ada menerima panggilan daripada beliau (Catherine) yang memaklumkan beliau mungkin akan pergi ke Australia dalam masa beberapa hari lagi,” ujarnya sambil memberitahu mereka turut berhubung malam kelmarin.

Ditanya apa yang dibualkan oleh mereka, Anisah berkata Catherine hanya menangis dan tidak dapat bercakap banyak kerana amat sedih dengan kejadian yang menimpa anak sulungnya itu.

Catherine difahamkan masih belum pulang ke rumah panjangnya di Sungai Aup sejak kehilangan pesawat malang itu pada 8 Mac lepas bagi menemani isteri Andrew serta anaknya.

Menyentuh mengenai Andrew, Christina memberitahu kali terakhir menemui beliau ialah pada hujung tahun lepas semasa sambutan Gawai Antu, Krismas dan Tahun Baharu.

“Saya tidak dapat melupakan saat itu di mana ketika sambutan Tahun Baharu, Andrew sempat bergurau bersama dengan penduduk rumah panjang,” jelasnya.

Beliau juga memberitahu, Andrew seorang anak yang pendiam tetapi peramah, baik hati serta menghormati orang tua.

Menurut salah seorang penduduk, Christina Tadon, 49, Andrew adalah seorang yang amat baik hati.

“Andrew sering membawa pulang cokelat apabila pulang dari Amerika Syarikat sebagai hadiah kepada kami di sini.

Beliau amat mudah didampingi dan semua penduduk sayang kepadanya,” ujarnya.

Christina yang bertemu kali terakhir dengan Andrew pada 21 Disember tahun lepas memberitahu pada pagi tersebut Andrew mengajak beliau serta yang lain untuk menikmati sarapan pagi di sebuah kedai di Jalan Apollo.

“Andrew menjemput kami bersarapan dengan keluarganya serta menikmati mi kampua serta kompia.

Kami semua memenuhi tiga meja dan beliau membelanjakan lebih RM100 pada pagi itu,” jelasnya.

 

Advertisement