Anda di sini

PVTMS mohon ahli atau veteran ATM sokong calon BN

Advertisement

KUCHING: Persatuan Veteran Tentera Malaysia Negeri Sarawak (PVTMS) memohon semua ahli atau veteran ATM di negeri ini khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian tampil memberi sokongan penuh kepada calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Balingian pada 29 Mac ini.

Presidennya Thomas Ling Kui Eng dalam kenyataan akhbarnya semalam berkata sokongan padu itu penting bagi memastikan rakyat lebih-lebih lagi di Balingian terus menikmati manfaat hasil kemajuan dan pembangunan dibawa BN di Sarawak.

“Kerajaan Malaysia sentiasa menjaga kebajikan bekas tentera antaranya melalui Yayasan Veteran ATM dan sentiasa mengingati pengorbanan dan perjuangan bekas tentera Malaysia di seluruh Sarawak.

“Malah penghargaan diberikan dengan memberi bantuan sara hidup kepada para veteran yang sudah berusia 65 tahun dan ke atas selain program sumbangan perayaan kepada yang berumur 70 tahun dan ke atas, veteran kurang upaya, balu dan anak yatim tentera,” katanya.

Kerajaan juga katanya tidak pernah meminggirkan mana-mana veteran ATM serta keluarga mereka yang memerlukan bantuan dan sumbangan sebagai tanda berterima kasih kepada mereka kerana telah berjuang demi kemerdekaan negara.

Justeru ujarnya, atas kesedaran itu, ahli dan veteran ATM harus mengenang jasa kerajaan dengan terus memberi sokongan kepada kerajaan BN dan dalam konteks PRK Balingian, calon BN.

Sementara itu katanya Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) berusaha menyediakan pelbagai program latihan dan panduan kepada Veteran ATM seperti Program Latihan Pengarah Syarikat, Inspirasi dan Apresiasi Usahawan Veteran ATM Tidak Berpencen serta pinjaman TEKUN tanpa faedah untuk membantu veteran ATM yang layak menjalankan perniagaan.

Selain itu, katanya kerajaan memberi kemudahan-kemudahan seperti Bantuan Kemasukan ke IPTA, Bantuan Persekolahan Anak, Bantuan Peralatan dan Perubatan, E-Tiket Penerbangan untuk pesakit, Bantuan Dialisis Buah Pinggang di Klinik Luar, Bantuan Bencana Alam dan Khairat Kematian kepada veteran ATM dan isteri.

“Kerajaan juga banyak memberi kemudahan kepada veteran ATM menerusi Program Membaik Pulih Rumah Veteran 1Malaysia di bawah Program Pengiktirafan Veteran 1Malaysia, Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

“Walaupun ramai veteran yang masih belum mendapat kemudahan tersebut tetapi Persatuan Veteran Tentera Malaysia Negeri Sarawak (PVTMS) telah berusaha berjuang memartabatkan hak kebajikan dan kemudahan kepada veteran ATM di negeri Sarawak,” katanya.

Kerajaan negeri pula tambahnya, bercadang membina lebih banyak perumahan awam mampu milik di Kuching, Matang, Mukah, Sibu, Kapit dan Miri dalam tempoh lima tahun akan datang khususnya bagi golongan berpendapatan rendah di negeri ini.

“Ini membuktikan bahawa kerajaan negeri sentiasa memahami rakyat yang berpendapatan rendah agar membolehkan mereka memiliki rumah mampu milik di bawah program perumahan negeri,” katanya.

Sehubungan itu beliau menasihati veteran ATM yang memerlukan bantuan agar tampil ke mana-mana pejabat cawangan PVTMS di seluruh negeri untuk mengemukakan permohonan masing-masing.

Advertisement