Anda di sini

PRK Balingian antara sangat aman, kata Law

Advertisement

Tiada sebarang laporan polis dibuat sepanjang tempoh berkempen PRK DUN Balingian sehingga semalam

 

MESRA: Law bersalaman dengan anggotanya selepas Perhimpunan Hari Polis Ke-207 di IDP Mukah semalam. Turut kelihatan KPD Mukah DSP Omar Bakhtiar Yacoob (kanan).

MUKAH: Tiada sebarang laporan polis dibuat sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian sehingga semalam berikutan masyarakat dan parti-parti yang bertanding telah memberi kerjasama yang baik.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Law Hong Soon berkata sikap masyarakat dan parti-parti yang bertanding sangat memuaskan dan mereka semua telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis.

Beliau turut menyifatkan PRK DUN Balingian sebagai salah satu pilihan raya yang sangat aman.

“Sepanjang kempen PRK sejak hari penamaan calon sehingga hari ini, untuk makluman tidak ada laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak dan kita dapat tengok sendiri semuanya berjalan dengan lancar dan baik.

“Inilah salah satu PRK yang aman sekali dan saya ucapkan terima kasih kepada masyarakat di sini yang telah bertoleransi dan telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Hari Polis Ke-207 di IPD Mukah semalam.

Justeru beliau berharap keadaan yang aman dan tenteram itu akan berterusan sehingga hari pembuangan undi pada 29 Mac ini.

Law berkata lagi, walaupun PRK Balingian dalam keadaan aman namun pihak polis tidak akan bersikap sambil lewa dengan ketenteraman itu sebaliknya akan sentiasa merancang tindakan luar jangka untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Beliau memberi jaminan bahawa pihak polis akan memastikan ketenteraman awam sentiasa terkawal bagi menjamin keselamatan dan keamanan masyarakat.

“Kami akan tetap merancang (tindakan) kontigensi-kontigensi bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang tidak diingini berlaku.

“Justeru, saya berharap perkara-perkara yang tidak diingini tidak akan berlaku,” katanya.

Law turut melahirkan rasa gembira dan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam PRK ini, yang telah memberi kerjasama yang cukup baik terutama parti-parti yang bertanding di sini.

“Saya berterima kasih kepada pihak-pihak yang terlibat dalam PRK ini, sementara mereka yang bertanding telah memohon permit kepada kami dan menyenangkan kami menjalankan tugas untuk memastikan keamanan terkawal,” katanya.

Difahamkan, sehingga semalam sebanyak 58 permit telah dikeluarkan iaitu 54 permit dipohon oleh Barisan Nasional (BN) dan empat Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Selain itu, pengundian awal melibatkan 133 pengundi di Dewan Serba Guna IPD Mukah semalam turut berjalan dengan lancar.

Advertisement