Anda di sini

Polis berkas tiga lelaki tempatan

Advertisement

KENINGAU:  Polis menangkap tiga lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam dua kes curi berasingan pada bulan ini.

Ketua Polis Daerah Deputi Superintenden Robert Salisip @David berkata, ketiga-tiga suspek terbabit masing-masing berasal dari daerah Papar dan Keningau.

Katanya, dalam kes pertama, seorang lelaki berusia 29 tahun berasal dari Papar ditangkap pada 15 Mac kira-kira jam 5.15 pagi ketika anggota MPV membuat rondaan di Jalan Kimanis-Keningau dan menahan sebuah kenderaan jenis Perodua Viva.

“Pemeriksaan dilakukan dalam kenderaan berkenaan dan mendapati barang-barang yang disyaki dicuri iaitu 11 gulung kabel (telah dipotong-potong) pelbagai warna milik TM Berhad sepanjang lebih kurang 50 meter dengan nilai RM5,000.

“Turut ditemui di dalam kenderaan itu alat pemotong dawai dan pemotong besi,” katanya.

Robert berkata, suspek kemudian ditangkap dan rampasan dibawa bersama kereta Perodua Viva untuk siasatan lanjut kerana disyaki terlibat dalam kegiatan curi kabel.

Katanya, hasil siasatan lanjut, pihak polis juga dapat mengenalpasti bahawa suspek turut terlibat dalam tiga kes curi kabel di Tambunan pada 7 Februari tahun ini melibatkan kabel sepanjang 175 meter dengan nilai RM9,000, dua kes di Keningau masing-masing bertarikh 11 Februari dan 26 Februari tahun ini dengan kabel sepanjang 330 meter dan bernilai RM16,000.

Menurut beliau, suspek yang positif dadah kini ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 431 A Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda, dan sebatan untuk kesalahan ulangan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu katanya, dalam satu kes lagi, dua lelaki tempatan dan penganggur berumur 26 dan 28 tahun ditangkap pada 17 Mac kira-kira jam 1 petang kerana disyaki terlibat mencuri lima tong gas di sebuah kedai di Taman Perumahan di sini.

Katanya, pada 16 Mac kira-kira jam 11.20 pagi, pengadu dimaklumkan oleh anak saudaranya bahawa terdapat lebih kurang empat orang lelaki tidak dikenali dalam keadaan mencurigakan berada di hadapan kedai di Taman Perumahan dan sedang mengangkat sesuatu keluar daripada kedai pengadu.

“Pengadu bergegas ke kedainya dan setelah membuat pemeriksaan mendapati lima tong gas yang diletakkan di luar kedainya hilang dan rantai besi yang digunakan untuk mengikat tong gas terbabit dipotong. Kerugian dianggarkan lebih kurang RM650.

“Pada 17 Mac kira-kira jam 1 petang, bertindak di atas maklumat sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah menangkap dua lelaki tempatan dan merampas lima tong gas. Turut dirampas ialah sebuah kenderaan jenis Perodua Viva warna putih yang digunakan dalam kegiatan itu,” katanya.

Robert berkata, tong gas yang dicuri kemudiannya dijual dengan harga murah untuk mendapatkan wang segera.

Katanya, kedua-dua suspek dan salah seorang yang positif dadah disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara selama tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

 

Advertisement