Anda di sini

Pengurus parah ditikam tujuh kali

Advertisement

KUCHING: Ditikam tujuh kali di dada serta belakang badan menyebabkan seorang pengurus yang cuba meng­halang perompak memasuki gudang tempatnya bekerja kini terlantar di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Menurut sumber, mangsa Ching Kim Kung berusia 57 tahun dan berasal dari Pulau Pinang tinggal di bahagian atas gudang tersebut di Jalan Semaba di sini sejak tiga minggu lepas.

Difahamkan, semasa ke­jadian sekitar jam 2.40 pagi semalam, mangsa yang tinggal bersendirian pada mulanya menyedari kehadiran seorang lelaki tidak dikenali yang mencurigakan serta me­makai topeng di gudang berkenaan.

“Ketika cuba menghalang lelaki (suspek) itu daripada menceroboh gudang tersebut, berlaku pergelutan di antara mereka sebelum mangsa ditikam empat kali di dada serta tiga kali di belakang badannya,” kata sumber.

Melihat keadaan mangsa yang parah, suspek segera beredar dari tempat kejadian sambil melarikan wang tunai RM1,500, tiga unit telefon bimbit dan rantai serta cincin emas mangsa.

“Mangsa selepas insiden tersebut sempat menghubun­gi seorang rakan sekerjanya meminta bantuan selain turut menyuruhnya menghubungi ambulans dan polis,” ka­tanya.

Rakan mangsa tiba di tem­pat kejadian bersama anggota paramedik di mana mangsa kemudian terus dikejarkan ke HUS untuk rawatan lanjut.

Sehingga berita ini ditulis semalam, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan terpaksa menjalani pem­bedahan untuk mengeluarkan darah di bahagian paru-parunya yang cedera.

Siasatan awal pihak polis di tempat kejadian menda­pati suspek memasuki gudang tersebut dengan membuka dinding zink.

Ketua Polis Daerah Pada­wan Superintenden Pauzi Bujang semasa dihubungi mengesahkan kejadian terse­but.

“Kes disiasat di bawah Sek­syen 394 Kanun Keseksaan dan setakat ini pihak kita masih berusaha untuk men­jejaki suspek,” katanya.

Advertisement