Anda di sini

Pengambilan konstabel polis tidak terhenti: Chew

Advertisement

Oleh Nick Fletcher

 

KUCHING: Isu pengambilan konstabel Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sarawak yang dikatakan terhenti sementara sehinggakan PULAPOL Kuching tidak menerima pelatih dinafikan oleh Timbalan Komandan (Latihan) PULAPOL Kuching Superintenden Chew Tham Soon.

Penjelasan yang diberikan adalah para pelatih telah dihantar ke pusat-pusat latihan lain.

“Ada pengambilan dibuat tetapi semua pelatih telah dihantar ke pusat latihan lain seperti di PULAPOL Langkawi, PULAPOL Segamat Johor atau PULAPOL Terengganu,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Perhimpunan Peringatan Hari Polis Ke-207 Peringkat PULAPOL Kuching, semalam.

Selain itu, Chew turut menafikan dakwaan mengatakan PULAPOL Kuching tiada menerima pelatih selama setahun setengah.

“Memang buat masa sekarang, tiada latihan asas untuk konstabel dijalankan di PULAPOL Kuching tetapi ia cuma sejak beberapa bulan lalu.

“Bagaimanapun, kami telah menjalankan beberapa kursus seperti jurulatih tembak, jasmani untuk Pasukan Gerakan Am dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, timbul dakwaan menyatakan bahawa pengambilan anggota polis di Sarawak telah terhenti sementara sehingga PULAPOL Kuching tiada mengendalikan latihan asas untuk konstabel selama lebih setahun.

Menurut sumber, keadaan itu disebabkan oleh kekangan bajet bagi membiayai Program Latihan Khidmat Negara.

Namun demikian, Chew berkata pihaknya kini dalam persediaan mengendalikan latihan pada bila-bila masa untuk pengambilan pelatih daripada keturunan Cina yang kini sedang dijalankan.

“Pengambilan anggota berketurunan Cina sedang dijalankan dan PULAPOL Kuching dijangka akan menerima pelatih-pelatih ini dalam masa terdekat,” katanya.

Advertisement