Anda di sini

Pengambilan khas anggota dan pegawai PDRM Cina diharap lancar

Advertisement

KUCHING: Eksesais pengambilan khas anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada keturunan Cina diharap akan menerima respons yang baik daripada komuniti berkenaan di negeri ini.

Menurut Timbalan Komandan (Latihan) PULAPOL Kuching Superintenden Chew Tham Soon, pengambilan pertama kini sedang dijalankan di mana permohonan adalah dibuka hingga 30 April.

“Saya percaya pengambilan khas anggota dan pegawai polis berketurunan Cina akan dapat dicapai,” katanya ketika ditemu bual pada Perhimpunan Hari Polis Ke-207 Peringkat PULAPOL Kuching, semalam.

PDRM telah menyasarkan mengambil seramai 5,000 anggota dan pegawai daripada keturunan Cina secara berperingkat untuk menyertai pasukan itu dalam tempoh lima tahun bermula tahun ini.

Ini kerana, hanya terdapat 1,974 orang atau 1.77 peratus keturunan Cina daripada lebih 111,000 anggota dan pegawai yang sedang berkhidmat dalam PDRM pada waktu ini.

Justeru, Chew berkata pihaknya kini juga sedang giat menjalankan kempen bagi mengumumkan kepada masyarakat Cina mengenai peluang tersebut.

“Kami (PULAPOL Kuching) telah diarahkan membuat persiapan untuk latihan kerana pengambilan anggota dijangka dijalankan pada bila-bila masa,” katanya.

Pada majlis itu, Chew turut menyampaikan sijil penghargaan kepada sembilan pegawai dan 29 anggota pelbagai pangkat, seorang orang awam dan tiga ahli PERKEP.

Advertisement