Anda di sini

Operasi cari serpihan, objek MH370 diteruskan: PM

Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tumpuan kerajaan pada masa kini adalah untuk mencari serpihan rangka serta objek-objek yang berkaitan dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di selatan Lautan Hindi.

Beliau berkata, ini bagi mengesahkan tanpa ragu-ragu bahawa pesawat itu telah pun hilang di selatan Lautan Hindi walaupun ia akan mengambil masa yang lama di samping bakal menghadapi cabaran yang sukar.

“Oleh itu, apa yang perlu kita lakukan dalam minggu-minggu dan mungkin bulan-bulan yang akan datang ialah untuk mencari segala serpihan rangka serta objek-objek yang berkaitan dengan pesawat MH370.

“Tidak dapat dinafikan kawasan tersebut amat sukar dan mencabar sekali, ini bererti kita akan menghadapi dugaan dan cabaran yang luar biasa untuk mencari serpihan rangka dan objek-objek pesawat,” katanya ketika membentang usul khas tragedi MH370 di Parlimen di sini, semalam.

Najib berkata, kerajaan tetap komited untuk meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan itu bagi mengesan kotak hitam pesawat MH370 yang akan memberi jawapan ke atas apa sebenarnya yang berlaku ke atas pesawat malang itu.

Perdana Menteri berkata, apa sahaja teori yang dibangkitkan pada masa ini mengenai kehilangan pesawat itu tidak boleh disahkan sehingga kotak hitam yang mengandungi perakam kawalan data dan perakam kawalan suara dijumpai.

“(Nahas) pesawat Air France yang telah berlaku pada satu ketika dahulu memakan masa dua tahun untuk menjumpai kotak hitam apabila pesawat itu diketahui di mana ia terhempas.

“Kali ini, keadaan itu lebih mencabar, walaupun memakan masa yang lama, kerajaan komited untuk meneruskan operasi SAR sehingga dapat mengesan kotak hitam pesawat MH370,” katanya.

Najib berkata, kerajaan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada badan-badan antarabangsa dan negara-negara asing yang memberi kerjasama baik sekali dalam operasi SAR.

“Apa yang kita saksikan tidak pernah berlaku dalam sejarah penerbangan, saya ucapkan terima kasih kepada badan antarabangsa yang memberi kerjasama begitu baik sekali dan menghargai sokongan dari negara asing dan rakan-rakan kita yang tidak mungkin mereka lakukan tanpa hubungan baik Malaysia dengan negara tersebut,” katanya.

Najib turut menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Australia Tony Abbot pagi semalam yang menyatakan sokongan dan kerjasama negara itu untuk memberikan bantuan secara berterusan sehingga dapat mengesan pesawat MH370.

“Saya sendiri telah menghubungi ramai pemimpin negara luar dan setiap yang saya hubungi telah menyatakan kesanggupan untuk memberi kerjasama sepenuhnya dan mereka mengarahkan agensi-agensi mereka untuk bekerjasama dari segi maklumat radar, satelit dan juga mengarahkan aset-aset mereka digunakan dalam operasi SAR mengikut kemampuan negara tersebut.

“Maka operasi SAR dilancarkan dan telahpun diubah kawasan cariannya mengikut maklumat terkini yang kita peroleh, kita sahkan bahawa kejadian itu berlaku di kawasan selatan Lautan Hindi maka segala tumpuan diberikan di kawasan tersebut,” katanya.

Najib berkata, kerajaan akan melakukan segala-galanya dengan penuh tanggungjawab dan memberi maklumat yang diterima yang telahpun disahkan secepat mungkin kepada rakyat dan seluruh dunia.

Beliau berkata, kerajaan tidak berniat sama sekali untuk menghalang atau menutup sebarang maklumat daripada disampaikan kepada anggota keluarga mangsa ataupun untuk pengetahuan umum.

Justeru, Najib berkata beliau mengambil keputusan untuk membuat kenyataan rasmi pada malam kelmarin juga kerana tidak mahu disalah anggap bahawa apabila kerajaan mempunyai sesuatu maklumat, ia tidak disampaikan secepat mungkin.

“Meskipun berita amat buruk dan sedar implikasinya tetapi tanggungjawab saya kepada rakyat, negara akan saya tunaikan dengan penuh rasa tanggungjawab.

“Saya sedar bahawa bukan mudah bagi keluarga-keluarga penumpang dan anak kapal MH370 menghadapi insiden ini dan kita sedar bahawa kita perlu beri kepuasan kepada mereka dengan secepat mungkin.

“Mudah-mudahan dengan kerjasama semua pihak, kita akan (tabah) menghadapi dugaan ini di samping menjaga imej negara Malaysia tercinta,” katanya.

Pada sidang akhbar malam kelmarin, Perdana Menteri mengumumkan penerbangan pesawat Malaysia Airlines MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada skrin radar, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) menuju Beijing pada 12.41 tengah malam 8 Mac.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. — Bernama

Advertisement