Anda di sini

Majlis Fatwa bersidang tentukan solat jenazah ghaib

Advertisement

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Khas Majlis Fatwa Kebangsaan bersidang petang semalam untuk menentukan tarikh dan waktu pelaksanaan solat jenazah ghaib bagi penumpang dan anak-anak kapal pesawat Malaysia Airlines MH370.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan usul khas di Dewan Rakyat bagi menzahirkan rasa sedih, dukacita dan pilu terhadap tragedi malang yang menimpa pesawat berkenaan.

Najib menarik perhatian, selain solat jenazah ghaib, pada masa ini kerajaan menerima pelbagai cadangan berkaitan penumpang dan anak-anak kapal pesawat itu antaranya untuk berkabung dengan mengibarkan bendera separuh tiang.

“Kerajaan berpendapat, kita perlu menemui objek dan serpihan itu terlebih dahulu sebelum kita melakukan perkara tersebut,” katanya.

Tegasnya, ketika ini bukanlah waktu untuk mana-mana pihak mempolitikkan isu kehilangan pesawat tersebut sebaliknya mengambil peluang menunjukkan solidariti dengan keluarga yang terlibat dalam tragedi berkenaan.

“Saya ingin merayu kepada rakan-rakan kita sama ada dengan parti kerajaan atau pembangkang…dalam krisis seperti ini, kita mesti menunjukkan rasa simpati kepada semua pihak yang menjadi mangsa kepada tragedi yang amat menyayat hati.

“Kita mesti tunjuk kematangan dan rasa cinta, lebih-lebih lagi perasaan sensitiviti kepada keluarga yang berada dalam keadaan begitu sedih dan pilu sekali,” katanya.

Dalam sidang akhbar malam kelmarin, Perdana Menteri mengumumkan penerbangan pesawat Malaysia Airlines MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada jam 12.41 tengah malam 8 Mac menuju ke Beijing, hilang daripada skrin radar sejam kemudian.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi hari yang sama. — Bernama

Advertisement