Anda di sini

Indeks jenayah di bandar Sibu berjaya diturunkan, kata Kamal

Advertisement

PERIKSA: Mohd Kamal ketika memeriksa perbarisan sempena Hari Polis ke-207, di Sibu semalam.

SIBU: Usaha bersungguh-sungguh polis di sini berjaya menurunkan indeks jenayah di bandar Sibu kepada 6.3 peratus berbanding tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Mohd Kamal Kordi berkata beliau mahu semua anggota polis di sini mengeka­lkan atau menurunkan lagi peratusan indeks jenayah terbabit.

“Kita mohon kerjasama orang ramai khususnya pen­duduk bandar Sibu men­jadikan bandar ini selamat untuk didiami,” katanya pada sambutan Peringatan Hari Polis Ke-207, di sini semalam.

Menurut Mohd Kamal, kerjasama orang ramai amat penting kerana disebabkan sikap sambil lewa mereka memberi peluang dan ruang kepada penjenayah melaku­kan jenayah.

Sebagai contoh, kenderaan dibiarkan dengan enjin masih hidup tatkala pemiliknya pergi ke dalam kedai untuk membeli barang.

“Begitu juga dengan pe­milik motosikal yang ter­lupa kunci pada motosikal mereka,” jelasnya sambil menegaskan kesedaran orang ramai penting dalam memer­angi jenayah.

Menyentuh mengenai judi dalam talian atau ‘monkey’, Mohd Kamal memberitahu sebanyak 35 premis judi terbabit ditutup sehingga kini hasil Ops Dadu yang dijalankan.

Beliau percaya terdapat lebih kurang 50 premis judi itu masih beroperasi di bandar ini yang akan digempur dalam Ops Dadu dari semasa ke semasa.

“Kita akan meneruskan Ops Dadu sehingga semua premis judi itu ditutup,” ujarnya sambil menambah operasi itu dijalankan atas arahan Bukit Aman.

Mengenai masalah da­dah di bandar ini, Mohd Kamal berkata polis mahu mengurangkan kes mem­babitkan dadah dengan mengambil tindakan terha­dap pengedar dan penagih dadah.

Katanya, polis memandang serius kes penyalahgunaan dadah kerana turut menyum­bangkan kepada jenayah-je­nayah lain seperti curi (pecah rumah), curi kenderaan dan ragut.

“Kita juga menjalankan Ops Payung bagi memeriksa dan memantau semua hotel dan pusat hiburan,” katanya sambil memberitahu bahawa dadah jenis syabu paling ban­yak digunakan.

Advertisement