Anda di sini

Dua lelaki warga asing ditahan miliki dadah, senjata api

Advertisement

Dua laras senjata buatan sendiri dan dadah disyaki syabu.

LAHAD DATU: Polis menahan dua lelaki warga asing dan merampas sebanyak 5.84 gram dadah disyaki syabu dalam satu serbuan yang dilakukan di sebuah ladang, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Shamsudin Mat berkata, kedua-dua suspek berumur 35 dan 39 tahun itu ditangkap di dalam sebuah rumah tidak bernombor oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik pada jam 12 tengahari.

Katanya, ketika serbuan kedua-dua suspek ditahan ketika sedang nyenyak tidur di dalam bilik masing-masing. Pemeriksaan lanjut ke atas salah sebuah bilik, polis menjumpai satu kotak kasut yang mana di dalamnya terdapat satu kotak besi yang berisi dua paket plastik lutsinar sederhana besar dan 23 paket kecil plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 3.25 gram.

Selain itu, polis turut memeriksa satu kotak rokok yang mana di dalamnya tersimpan tiga paket kecil plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 2.59 gram.

“Setelah rampasan dibuat dan peperiksaan menyeluruh dilakukan ke atas rumah terbabit, kita turut menjumpai dua laras senapang buatan sendiri disyaki satu laras senapang bakakuk dan satu laras senapang angin bersama tiga butir peluru yang disembunyikan di bawah tilam,” katanya pada sidang media selepas Sambutan Hari Polis ke-207 di IPD Lahad Datu, di sini kelmarin.

Shamsudin berkata, kedua-dua suspek kemudiannya dibawa balik untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Hasil saringan awal ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek juga turut didapati mereka positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine,” katanya sambil menambah, suspek kini ditahan dan akan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan Akta Imigresen.

 

 

Advertisement