Anda di sini

BN yakin hadapi PRK Balingian

Advertisement

Oleh Mahathir Haroun

 

KUCHING: Barisan Nasional (BN) menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan penuh keyakinan untuk melakar kemenangan sekali gus mempertahankan kerusi tersebut.

Setiausaha Agung BN Negeri Datuk Dr Stephen Rundi berkata, ia dapat dilihat berdasarkan kerjasama yang diberikan semua parti komponen BN sejak hari pertama kempen yang bekerjasama untuk memastikan kemenangan.

Menurutnya, sikap saling membantu antara semua parti komponen itu sudah pasti akan meningkatkan keyakinan masyarakat untuk terus mengundi BN.

“Kita (BN) menghadapi PRK DUN Balingian dengan penuh keyakinan untuk beroleh kejayaan,” katanya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) semalam.

Malah katanya, kejayaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang di Kajang tidak akan memberi kesan ketara kepada BN di Sarawak.

“Seperti yang kita semua maklum, sentimen dan senario politik di sini (Sarawak) berbeza dengan Kajang.

“Jadi, PKR menang di Kajang tidak akan memberi apa-apa kesan atau mengganggu persiapan kita (BN) di negeri ini,” ujarnya.

PRK DUN Balingian diadakan berikutan pengunduran penyandangnya Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang turut melepaskan jawatan Ketua Menteri pada 28 Februari lepas sebelum dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri pada 1 Mac.

Hari pengundian untuk PRK DUN Balingian akan berlangsung 29 Mac ini yang menyaksikan calon BN Yussibnosh Balo,48, akan ditentang calon PKR Abdul Jalil Bujang,55.

Dalam perkembangan lain beliau yang juga Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, sebagai parti tulang belakang BN di Sarawak, PBB akan membantu mana-mana parti komponen yang berdepan masalah termasuk Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

“Sikap tolong menolong merupakan keutamaan dalam BN untuk memastikan kestabilan politik dan tidak menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat,” jelasnya.

Advertisement