Anda di sini

50 orang sertai Ekspedisi Menjejaki Kubu Panglima Rentap di Bukit Sadok

Advertisement

BETONG: Jawatankuasa Petugas Pelancongan, Pejabat Residen Bahagian Betong dengan kerjasama Kelab MADABE, Majlis Daerah Betong (MDB) telah menganjurkan Ekspedisi Menjejaki Kubu Panglima Rentap di Bukit Sadok yang turut disertai beberapa jabatan dan agensi termasuk daripada Kementerian Pelancongan Sarawak.

Residen Bahagian Betong Datu Romie Sigan Daniel telah berkesempatan meluangkan masa melepaskan rombongan seramai kira-kira 50 peserta pendakian bermula di pekarangan letak kereta Menara Utama, Kompleks Pejabat Kerajaan Negeri Bahagian Betong di sini.

Dalam ucapan ringkasnya, Romie berharap rombongan itu berjaya meneruskan misi ekspedisi kali ini dengan jayanya selain mencapai objektif yang mana program ini bertujuan mencatat rekod terkini berhubung perjalanan dan laluan yang bakal digunakan pada Ekspedisi Bukit Sadok 2014 yang dirancang dilaksanakan pada bulan September nanti.

“Ini adalah langkah awal untuk kita mempersiapkan perancangan bagi program yang lebih berskala besar dan bakal disertai pelbagai pihak termasuk jabatan dan agensi dalam ekspedisi itu kelak.

“Program ini juga sebagai aktiviti dalam kalendar pelancongan bahagian Betong selain dapat mengimbas kembali sejarah legenda kepahlawanan kaum Iban iaitu Panglima Rentap yang terus terpatri dalam sejarah dan kawasan penempatan perjuangannya menjadi warisan yang harus dijaga dan dipelihara.

“Peserta juga diharap agar sentiasa menjaga tatasusila dan tutur kata masing-masing semasa dalam perjalanan seterusnya sepanjang berada di kawasan tersebut kerana dikhuatiri akan mengganggu ‘penghuni’ kawasan itu.

Beliau turut memberitahu bahawa aktiviti yang akan dijalankan pada ekspedisi kali ini di puncak Bukit Sadok adalah simbolik Ulang Tahun Ke-12 Bahagian Betong yang akan diadakan pada tengah malam kerana kebetulan program tersebut dilangsungkan pada tarikh tersebut.

Sementara itu ketua rombongan, Timbalan Residen Sosial Bahagian Betong Galong Luang menasihati peserta agar sentiasa menjaga kebersihan alam sekitar.

“Semua peserta ekspedisi ini diharap tidak membuang sebarang objek atau sampah di merata-rata tempat bagi menjaga kebersihan dan menghormati penghuni kawasan tersebut.

“Saya juga mengingatkan anda agar tidak menebang pokok-pokok yang ada di sepanjang laluan dan di atas bukit sesuka hati.

“Kita juga harus menjaga warisan yang ada dengan sebaiknya serta memelihara flora dan fauna di situ.

“Apapun keselamatan diri masing-masing sepanjang perjalanan dan pendakian harus dititikberatkan dan diberi keutamaan.

“Bagi yang kurang keyakinan diri dan tidak sihat, diharap dapat memaklumkan kepada urus setia.

“Ini kerana kalau peserta jatuh sakit di tengah-tengah perjalanan kelak, ia akan menyusahkan peserta dan ahli rombongan lain,” katanya.

Setiausaha program, Harry Don Bosco Biscop pada sesi taklimatnya sebelum berlepas turut menegaskan kepada peserta agar menjaga tingkah laku serta patuh kepada segala pantang larang di kawasan hutan di sepanjang ekspedisi itu demi kebaikan bersama.

Beliau turut menjelaskan bahawa perjalanan ekspedisi kali ini akan menggunakan jalan yang baharu dan boleh dilalui menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

“Laluan baharu yang akan kita gunakan lebih menyingkatkan masa perjalanan iaitu menggunakan kenderaan pacuan empat roda dari hentian di Jambu Kerapak hingga ke kaki Bukit Sanggau yang memakan masa 10 hingga 15 minit sahaja.

“Sebelum ini perjalanan hanya berjalan kaki menuju ke kaki Bukit Sanggau yang memakan masa lebih dua jam. Ini bermakna perjalanan untuk ke puncak Bukit Sadok yang dahulunya melebihi empat jam setengah, kini dapat dikurangkan dan mungkin boleh sampai di puncak dalam lebih dua jam,” jelasnya.

Ekspedisi kali ini turut disertai pegawai dan kakitangan Pejabat Residen Bahagian Betong, MDB, Kementerian Pelancongan Negeri Sarawak, Pejabat Daerah Betong, Majlis Daerah Saratok, Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia Betong, PELITA Cawangan Betong, penduduk Rumah Girie, Jambu Kerapak dan Rumah Perdu, Spak serta orang perseorangan.

Advertisement