Anda di sini

Tiada sebarang keputusan dibuat terhadap Wan Junaidi

Advertisement

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata beliau tidak boleh membuat sebarang keputusan terhadap Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ekoran kenyataannya mengenai kes rogol bawah umur pada Selasa lepas.

Beliau berkata ini kerana Wan Junaidi tidak hadir ke sidang dewan semalam dan beliau perlu mendengar sendiri penjelasan Anggota Parlimen Santubong itu.

“Kalau ada pertikaian seperti ini, pihak yang menuduh (Chong Chieng Jen DAP-Bandar Kuching) dan tertuduh mesti ada sama-sama, saya perlu dengar sendiri secara verbal dari Bandar Kuching mana hujah yang melanggar peraturan mesyuarat.

“Selepas itu saya akan memanggil timbalan menteri untuk membalas hujah baharu saya akan buat keputusan,” katanya selepas Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah selesai menggulung usul menjunjung kasih titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Kenyataan Wan Junaidi itu menimbulkan rasa tidak puas hati kebanyakan anggota Parlimen termasuk Chong yang menyatakan bahawa ia menyakitkan perasaan kaum lain dan mahu Wan Junaidi dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Pandikar Amin berkata untuk merujuk seseorang anggota Parlimen ke jawatankuasa itu di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12) mesti memenuhi tiga prasyarat.

“Prasyarat pertama ialah kenyataan yang dibuat itu adalah salah; kedua, apabila disedari kesilapan itu sama ada yang membuat kenyataan itu sedar sendiri atau disedarkan oleh ahli Yang Berhormat lain, dan pihak yang membuat kenyataan itu tidak berusaha atau membuat sesuatu untuk memperbetulkan kenyataan itu.

“Ketiga, ahli Yang Berhormat yang membuat kenyataan itu mempunyai niat jahat untuk menyeleweng dewan ataupun mempunyai agenda tertentu,” katanya.

Chong yang kecewa apabila tiada sebarang keputusan diambil kemudiannya bangun dan mahu Pandikar Amin menetapkan tarikh tertentu untuk memastikan Wan Junaidi hadir ke dewan.

Pandikar Amin berkata beliau memberi jaminan bahawa Wan Junaidi akan hadir ke dewan kerana perkara ini sudah dimaklumkan kepadanya.

“Saya tidak boleh tetapkan tarikh sebab mungkin tarikh yang saya tetapkan itu Yang Berhormat (Wan Junaidi) mempunyai urusan lain, nanti bila beliau ada, Bandar Kuching pula tiada sebab berkempen di Balingian.

“Biar saya buat kerja saya, kamu buat kerja kamu, jangan pertikaikan apa yang saya sebut, he will come,” katanya. — Bernama

Advertisement