Anda di sini

Siasatan kes ubah wang haram di luar negara sukar

Advertisement

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menghadapi masalah untuk menyiasat kes pengubahan wang haram yang dilakukan rakyat tempatan di luar negara kerana suruhanjaya itu perlu juga membuktikan kesalahan itu turut dilakukan di negara berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata selain itu, negara luar juga hanya akan memberi kerjasama jika kes itu disahkan tidak bermotifkan politik.

Katanya walaupun SPRM mempunyai perjanjian berdasarkan Konvensyen Menentang Rasuah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCAC) iaitu akan memberikan keutamaan dan meningkatkan kerjasama antara satu negara dengan negara lain, namun dua perkara itu adalah antara kekangan untuk mengaplikasikan kerjasama itu.

“Kita hanya boleh mendapatkan kerjasama daripada negara luar untuk menyiasat kes rasuah berkaitan pengubahan wang haram seperti ini selepas kita dapat memastikan kesalahan itu turut dilakukan di negara berkenaan (penerima: pemberi kerjasama). Sekiranya kesalahan itu tidak wujud dalam negara berkenaan, maka kerjasama perundangan tidak dapat diberikan.

“Kedua, tidak ada kerjasama boleh dijalankan sekiranya siasatan kes bermotifkan politik dari negara tersebut (peminta: kerjasama). Siasatan bermotifkan politik, mereka boleh menolak permintaan untuk menjalankan kerjasama berkenaan,” katanya pada taklimat bertajuk ‘Berwibawakah SPRM’ anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini, semalam.

Beliau berkata terdapat negara yang mudah untuk mendapatkan kerjasama sekali gus memperoleh maklumat yang diperlukan oleh SPRM tetapi ada juga negara yang meminta lebih daripada kewajarannya sehingga sukar untuk meneruskan siasatan terhadap kes berkenaan.

Abu Kassim berkata selain itu bukan mudah untuk pihaknya menjalankan siasatan terhadap kes kesalahan rasuah dilakukan warganegara asing yang membeli hartanah di Malaysia atau warga tempatan yang membeli hartanah di luar negara.

“Kes yang kita hadapi dari segi perundangan, tetapi ini yang orang selalu berpandangan kalau orang Malaysia membeli hartanah di luar negara dan kita perlu siasat. Bukan kita tidak mahu siasat tetapi isunya boleh atau tidak kita jalankan siasatan apabila kes membabitkan negara luar. Secara teknikalnya ia sukar,” katanya.

Beliau berkata dalam mencari jalan terbaik untuk meningkatkan kerjasama bagi mengurangkan keterbatasan fungsi serta tanggungjawab SPRM untuk menjalankan siasatan terutamanya kes yang dilakukan di luar negara, hubungan baik secara ‘informal’ dengan agensi pencegahan rasuah antarabangsa merupakan elemen penting.

“Di peringkat antarabangsa kita mempunyai hubungan baik secara informal dengan agensi-agensi pencegahan rasuah sebab kita percaya dari pengalaman yang kita pernah ada hubungan seperti ini memang penting terutamanya dalam mendapatkan kerjasama dengan negara yang menjaga kerahsiaan mereka,” katanya. — Bernama

Advertisement