Anda di sini

PM Australia maklumkan Najib tentang objek yang dikesan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam menerima panggilan telefon daripada rakan sejawatannya di Australia Tony Abbott memaklumkan tentang penemuan dua objek oleh Tentera Udara Diraja Australia (RAAF), dalam misi mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang.

Najib berkata Abbott memberitahu beliau objek itu akan diambil dalam beberapa jam lagi.

“Baru terima panggilan daripada PM Australia Tony Abbott. Dua objek yang dikesan akan diambil dalam beberapa jam lagi,” kata Najib menerusi mesej tweeter semalam.

Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) dalam laporan terkini berhubung operasi mencari yang dimuat naik dalam laman webnya, berkata objek itu dikesan pesawat P3 Orion RAAF dan kapal HMAS Success yang kini berada di lokasi untuk mendapatkannya.

Laporan itu menyebut objek berkenaan dikesan di kawasan pencarian kira-kira 2,500 kilometer dari Perth kira-kira jam 2.45 petang Waktu Siang Timur Australia (AEDT).

Najib turut menyuarakan penghargaannya kepada Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan yang turut menghubungi beliau untuk menyatakan keprihatinan dan menawarkan bantuan dalam mencari MH370.

“PM Turki Erdogan telefon. Saya ucap terima kasih kepada beliau atas keprihatinan dan bantuan yang ditawarkan,” katanya.

MH370 dalam penerbangan ke Beijing, China hilang daripada radar kira-kira 1.30 pagi pada 8 Mac di ruang udara antara Malaysia dan Vietnam, 49 minit setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang.

Pesawat Boeing 777-200ER itu membawa 239 penumpang dan anak kapal. — Bernama

Advertisement