Anda di sini

MH370: Tiada unsur rasuah dua warga Iran guna pasport curi

Advertisement

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada unsur rasuah berhubung pelepasan dua warga Iran yang menggunakan pasport curi negara Itali dan Austria menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata hasil siasatan pihaknya mendapati tiada elemen rasuah berlaku semasa pemeriksaan dua penumpang warga Iran itu dengan agensi kerajaan Malaysia, iaitu Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Bagaimanapun kita mendapati kedua-dua mereka (dapat menaiki pesawat) disebabkan dasar negara yang lebih menumpukan kepada perkhidmatan yang cepat dalam pemeriksaan pelawat luar negara.

“Justeru kita menyarankan agar pihak kerajaan turut menitikberatkan aspek keselamatan juga untuk mengelak kejadian itu berulang dan tidak mengutamakan aspek perkhidmatan berorientasikan pelanggan,” katanya dalam sesi taklimat ‘Berwibawakah SPRM’ di Wisma Bernama, di sini semalam.

Beliau juga berkata agak mustahil bagi pihak imigresen memeriksa pasport di dalam rangkaian Interpol yang mempunyai data 40 juta pasport hilang dalam tempoh yang singkat.

Pesawat MH370, yang hilang sejak tiga minggu lalu, telah berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal.

Sehingga kini nasib penumpang dan anak kapal pesawat itu tidak diketahui kerana pesawat berkenaan belum ditemui biarpun operasi mencari dan menyelamat telah diperluaskan ke koridor Utara dan Selatan meliputi kawasan seluas 2.24 juta batu nautika.

Pihak polis dan Interpol mengenal pasti rakyat Iran itu sebagai Pouria Nour Mohammad Mehrdad, 19, dan Delavar Syed Mohammad Reza, 29, masing-masing menggunakan pasport warga Austria dan Itali, yang dilaporkan hilang di Thailand, beberapa tahun lepas.

Pouria Nour dan Delavar Syed dipercayai dalam perjalanan ke Jerman untuk mendapatkan perlindungan dan tidak ada kaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas.

Ditanya sama ada SPRM boleh mengambil tindakan atau memulakan siasatan dalam kes kebocoran maklumat mengenai perbualan juruterbang dengan pengawal trafik udara (ATC) seperti yang dilaporkan akhbar luar negara, Daily Telegraf, United Kingdom, beliau berkata, siasatan hanya boleh dilakukan SPRM selepas siasatan dalaman dijalankan oleh pihak atasan ATC.

“Jadi biar mereka buat siasatan dalaman terlebih dahulu, jika ada elemen rasuah mereka boleh rujuk dengan kami (SPRM), jika tidak mereka hanya ambil tindakan dalam lingkungan pertubuhan itu sahaja,” katanya.

Menurutnya, kesalahan membocor maklumat kerajaan adalah di bawah kesalahan Akta Rahsia Rasmi dan tertakluk dalam bidang kuasa polis. — Bernama

Advertisement