Anda di sini

Masyarakat benteng cegah jenayah, tingkat khidmat polis

Advertisement

KUALA LUMPUR: Menjadikan masyarakat sebagai benteng untuk pencegahan jenayah merupakan matlamat Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meningkatkan perkhidmatannya ke arah ‘Kepolisan Bertaraf Dunia’.

Kaedah mendekati rakyat untuk mendapatkan kerjasama masyarakat bukan perkara baharu sebaliknya perkara itu pernah dipraktikkan kerajaan semasa ancaman komunis sejak 1945 sehingga era 1970-an.

Ia menjadikan Malaysia antara tiga negara di dunia berjaya mematahkan ancaman komunis selain Greece dan Filipina.

Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah Polis Bukit Aman Datuk Wira Ayub Yaakob berkata pendekatan itu terbukti efektif untuk melawan sebarang elemen jenayah pada masa sekarang.

“Kini bukan lagi masanya untuk PDRM berada dalam kepompong sendiri kerana kita tidak lagi boleh berfikir secara sendiri. Kita mahu kepakaran dan memperoleh buah fikiran serta pandangan yang ada pada setiap sektor komuniti,” katanya kepada Bernama sempena Hari Polis ke-207 yang akan disambut hari ini.

Ayub berkata polis menjalinkan kerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan, sektor korporat, pihak kementerian dan pasukan keselamatan lain.

Polis juga memeterai Memorandum Persefahaman bersama pihak universiti dan terbaru dengan Majlis Profesor Negara (MPN) pada Februari lepas, katanya.

Jelasnya kerjasama strategik yang dijalinkan dengan MPN dilihat mampu memberikan inovasi dalam aspek pencegahan dari segi sosial dan ekonomi manakala koloborasi dengan beberapa pihak universiti pula bagi menyuntik semangat kesukarelawan di peringkat universiti.

“Kita wujudkan Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) yang mana mereka ini secara automatik menjadi anggota Sukarelawan Simpanan Polis (PVR),” katanya.

Keanggotan PVR kini sebanyak 15,000 orang dan tahun ini 10,000 orang lagi akan direkrut di seluruh negara dan pengambilan itu akan dijadikan sebagai pengambilan tahunan iaitu 10,000 orang setiap tahun.

Pendekatan sahaja tidak mencukupi, malah polis melaksanakan beberapa inisiatif termasuk menjalankan tugasan rondaan mencegah jenayah bersama masyarakat, katanya.

Ayub berkata antara program itu ialah Community Policing, Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan sebagainya, yang dilihat lebih efektif sekali gus dapat meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap polis.

Menurut rekod Polis, sekurang-kurangnya 200,000 keanggotaan direkodkan bagi SRS yang bertugas membuat rondaan cegah jenayah dengan diselia oleh pihak polis manakala komuniti yang terlibat dalam Community Policing melibatkan 80,000 orang di seluruh negara.

“Selain itu, kita juga mahu kumpul idea-idea mereka yang disalurkan melalui forum serta dialog pihak polis bersama orang awam yang diadakan,” katanya.

Hakikatnya, Ayub yakin tanggungjawab kepolisan bukan sahaja terletak di bahu pasukan itu malah masyarakat juga berperanan memikul tanggungjawab berkenaan dan kerjasama mereka penting untuk mencegah jenayah. — Bernama

Advertisement