Anda di sini

Keputusan PRK Kajang, permulaan baik bagi penjenamaan semula MCA

Advertisement

JOHOR BAHARU: Keputusan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang yang memperlihatkan peningkatan sokongan pengundi Cina terhadap Barisan Nasional (BN) adalah bukti permulaan yang baik terhadap proses penjenamaan semula kepimpinan baharu MCA.

Mengulas keputusan PRK yang diumumkan semalam, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata walaupun keputusan memihak kepada pembangkang, peningkatan itu turut memperlihatkan penerimaan semula dan kebolehpercayaan pengundi-pengundi terhadap prestasi BN secara keseluruhan.

“Pertama, Datin Paduka Chew Mei Fun adalah seorang calon yang baik. Kedua, jentera pilihan raya digerakkan dengan cukup baik dan MCA sendiri telah memperlihatkan komitmen jenteranya yang cukup baik.

“Tidak mustahil kalau MCA akan muncul semula dan kita harap parti-parti komponen BN yang lain akan muncul juga bersama-sama dengan UMNO,” katanya kepada pemberita selepas melawat Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam di sini semalam.

Turut hadir Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

Keputusan PRK kelmarin memihak kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang meraih 16,741 undi berbanding 11,362 undi calon BN yang diperoleh Chew, dengan majoriti 5,379 undi.

Keputusan kelmarin juga turut menyaksikan sokongan pengundi Cina terhadap BN meningkat tujuh peratus kepada 25 peratus berbanding keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri itu berkata, sehubungan dengan itu BN akan mengadakan bedah siasat bagi memperbaiki kelemahan jentera serta terus menumpukan kepada memperbaiki persepsi masyarakat kepada BN secara keseluruhannya.

“Menguruskan persepsi merupakan perkara yang bukan mudah dan pada hemat saya, ia harus dilakukan melalui pendekatan menggunakan ‘game changer’ yang tertentu.

“Antara elemen pendekatan baharu ini adalah koloborasi semua pihak untuk menunjukkan bahawa negara kita adalah sebuah negara yang mempunyai sistem integrasi yang kukuh,” kata beliau.

Bagi memastikan penerimaan semula BN dapat direalisasikan, Ahmad Zahid, yang bertanggungjawab bagi proses penyelidikan dan latihan untuk BN, turut dipertanggungjawabkan untuk mengadakan program pengkaderan parti di peringkat kepimpinan dan ahli-ahli akar umbi. — Bernama

Advertisement