Anda di sini

KDN rancang tubuh kompleks mini untuk setiap negeri

Advertisement

SEREMBAN: Kementerian Dalam Negeri (KDN) merancang mewujudkan kompleks mini KDN di semua negeri, kata Timbalan Menterinya Datuk Dr Wan Junaidi Tuankua Jaafar semalam.

Beliau berkata setakat ini terdapat tujuh kompleks mini KDN iaitu masing-masing satu di Kuala Lumpur, Perak, Melaka, Pahang, Johor, Kedah dan Langkawi.

“Bagaimanapun rancangan ini tertakluk kepada kemampuan kewangan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Ulang Tahun Pertahanan Awam ke-62 Peringkat Kebangsaan, di sini.

Kompleks mini KDN merupakan kompleks yang menempatkan pejabat Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Pasukan Relawan Malaysia.

Mengulas isu lain, Wan Junaidi berkata semua anggota dan aset JPAM berada dalam keadaan siap siaga bagi membantu operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas.

Setakat ini JPAM menghantar paramediknya ke hotel penempatan keluarga penumpang MH370 untuk membantu pasukan perubatan, katanya.

“Selain itu pegawai bersekutu JPAM yang terdiri daripada artis tanah air turut turun padang bagi memberi sokongan moral dan kaunseling kepada keluarga terbabit,” katanya.

Dalam majlis itu, Wan Junaidi turut menyampaikan Pingat Kedaulatan Negara (PKN) serta pemakaian pangkat dan penyerahan watikah kepada 97 pegawai serta anggota JPAM. — Bernama

Advertisement