Anda di sini

Fokus di koridor selatan tidak jejas operasi di utara

Advertisement

Pencarian bagaimanapun, dilakukan dalam skala lebih kecil

KUALA LUMPUR: Pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac kini bertumpu di koridor selatan setelah satelit beberapa negara mengesan objek-objek yang mungkin ada kaitan dengan pesawat itu di kawasan berkenaan.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata dalam masa sama usaha pencarian di koridor utara tetap dilaksana, cuma pada skala lebih kecil.

“Tumpuan kita tetap menjurus kepada dua koridor tapi dengan ‘lead’ dan maklumat terbaharu daripada Perancis, China dan Australia sudah tentu banyak aset kita ditumpukan di koridor selatan.

“Kalau itu dapat disahkan, maka kita tidak teragak-agak untuk bawa semua aset kita dan (aset) negara-negara yang membantu kita ke koridor selatan. Selagi pengesahan tidak berlaku, itu tak adil kepada keluarga penumpang-penumpang untuk kita hanya tumpukan kepada koridor selatan,” katanya dalam sidang media harian mengenai perkembangan misi mencari dan menyelamat MH370 di sini, semalam.

Khamis lepas, Perdana Menteri Australia Tony Abbott mengumumkan mengenai imej dua objek yang dicerap oleh satelit negaranya di selatan Lautan Hindi yang mungkin ada kaitan dengan MH370. Ini disusuli pengumuman kerajaan China mengenai imej objek yang dikesan oleh satelitnya tidak jauh dari lokasi awal, pada Sabtu.

Kelmarin, satelit pihak berkuasa Perancis turut mencerap imej beberapa objek di sekitar kawasan tersebut.

Usaha pencarian MH370 kini ditumpukan kepada dua koridor iaitu koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke bahagian utara Thailand serta koridor selatan yang meliputi Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi.

Penerbangan MH370 yang dikendalikan pesawat Boeing 777-200ER membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal ke Beijing, hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12.41 tengah malam, 8 Mac.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi (waktu Malaysia) hari yang sama.

Sehingga semalam, nasib pesawat itu dan mereka yang menaikinya masih belum diketahui selepas operasi mencari dan menyelamat yang disertai pelbagai negara gagal mengesan sebarang petunjuk sahih.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata belum ada rumusan awal boleh dibuat berhubung kehilangan pesawat MH370 dan mengulangi penegasan bahawa perkara tersebut bergantung kepada rakaman kotak hitam pesawat berkenaan.

Ditanya apakah mungkin individu dalam pesawat itu yang bertanggungjawab terhadap insiden berkenaan, Hishammuddin berkata: “Kami tidak menolak sebarang kemungkinan.

“Akan tetapi petunjuk lain berkaitan tiada nota tebusan, tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab menimbulkan lebih banyak spekulasi,” katanya.

Beliau berkata siasatan dijalankan secara menyeluruh, justeru semua pihak perlu berlaku adil kepada pasukan penyiasat.

“Kami tidak boleh dedahkan semuanya. Jika saya jawab soalan itu, bermakna saya juga membuat spekulasi,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan tentera Amerika Syarikat akan menghantar alat pengesan kotak hitam di kawasan perairan selatan Lautan Hindi, Hishammuddin berkata perkara itu perlu disahkan oleh pihak US Pacific Command.

Bagaimanapun, katanya buat masa ini penggunaan alat itu termasuk ‘Towed Pinger Locater 25’ adalah tidak realistik selagi serpihan-serpihan yang dikesan belum disahkan milik pesawat MH370.

Dalam pada itu, Hishammuddin menegaskan semua maklumat yang diberi adalah tepat masa.

Beliau juga menafikan wujud sentimen anti-Malaysia di China susulan laporan wakil media Malaysia tidak dibenar memasuki bilik taklimat.

“Mereka (keluarga penumpang MH370) bukan saja hargai tapi mereka harap operasi SAR diteruskan. Tentang media tidak dibenarkan, kita akan lihat supaya ia tak berulang,” katanya.

Menurut laporan sebuah portal berita, media Malaysia yang berada di Beijing dikatakan telah menerima layanan buruk sehingga memaksa mereka menyamar sebagai media dari negara lain bagi tujuan keselamatan dan mengelak perkara buruk berlaku. — Bernama

Advertisement