KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan wujudnya perbincangan untuk memilih isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.
Tanpa menyatakannya secara langsung mengenai perkara itu, Anwar berkata perkara itu bakal dibincangkan di peringkat pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor terlebih dahulu.
“Hal itu mereka akan bincangkan melalui kepimpinan negeri. Program Wan Azizah hari ini (semalam) masih di Kajang.
“Langkah Kajang masih diteruskan yang mana Wan Azizah sekarang sudah menang di sana,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini, semalam.
Kelmarin, Wan Azizah yang juga Presiden PKR memenangi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang selepas memperoleh 16,741 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Datin Paduka Chew Mei Fun, yang mendapat 11,362 undi.
Bagaimanapun majoriti kemenangan Wan Azizah menurun kepada 5,379 undi, berbanding calon PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lepas iaitu Lee Chin Cheh yang menang dengan majoriti 6,824 undi. — Bernama